Monday, April 28, 2008

Ulasan Penulis

ISU - Peniaga Kubang Pasu Serah Memorandum Bantahan

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian. Kali ini saya memilih tajuk ‘Peniaga Kubang Pasu Serah Memorandum Bantahan’ sebagai tatapan yang dihimpun dari sumber-sumber yang diyakini betul dan bertanggungjawab. Sebarang komen, pandangan dan kritikan dialu-alukan untuk kebaikan semua pihak.

Penulis dimaklumkan, Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman telah bertemu tiga wakil Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu untuk menyerahkan ‘Memorandum Bantahan’ berhubung cadangan menaikkan bayaran sewa petak peniaga pasar malam dan pasar sehari dalam daerah itu.

Memo bantahan tersebut telah disampaikan oleh wakil Persatuan, iaitu, Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan AJK kepada Ahli Majlis Mesyuarat Daerah Kubang Pasu diwakili oleh Dr. Rohani Abdul Mutalib, Hj Aziz Jusoh dan Hj. Ismail supaya memo bantahan tersebut dapat diserahkan kepada kepada Datin Che Barni Mohd. Noor, 52, selaku Yang DiPertua Majlis Daerah Kubang Pasu dan salinannya dihantar kepada Menteri Besar Kedah dan YB Hj.Mohd taulan Rasul, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan.Yang DiPertua Majlis Daerah Kubang Pasu dan salinan kepada Menteri Besar Kedah dan YB. Mohd Taulan Rasul, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Daerah Kubang Pasu meliputi dua kawasan Parlimen iaitu Kubang Pasu dan Jerlun yang kedua-duanya di menangi oleh UMNO/BN. Parlimen Kubang Pasu diwakili oleh YB Dato’ Johari Baharom sejak 2004 lagi dan Dato’ Mukhriz Mahathir mewakili Parlimen Jerlun setelah memenangi kerusi tersebut pada PRU 12 lalu. Kedudukan DUN dalam Parlimen Kubang Pasu ia diwakili oleh kedua-duanya dari UMNO/BN dan Dun Ayer Hitam diwakili oleh YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad (PAS) yang merupakan Timbalan Speaker Kerajaan Pakatan Rakyat dan SiPuteh diwakili oleh ADUN lama mereka sejak tahun 1999 lagi.

Walaupun kedua-dua Parlimen dan tiga kerusi DUN dalam daerah Kubang Pasu dikuasi oleh UMNO/BN tidak bermakna mereka berkuasa ke atas pengurusan Majlis Daerah Kubang Pasu, apatah lagi terlibat untuk membuat dasar dan polisi berkaitan Kerajaan Tempatan di Daerah Kubang Pasu setelah rakyat memilih kerajaan Pakatan Rakyat (PAS + PKR) menerajui negeri Kedah.

Ironinya, setelah hampir dua bulan kerajaan Pakatan Rakyat diberi kuasa oleh rakyat untuk menerajui kerajaan, Ahli Majlis Mesyuarat Daerah/Bandaran/Bandaraya masih belum dilantik untuk memainkan peranan mereka.

Penulis dimaklumkan bahawa, kegagalan atau kelewatan ini berpunca dari sikap Ahli Majlis Mesyuarat Daerah /Bandaran/Bandaraya yang dilantik oleh kerajaan BN /UMNO terdahulu tidak mahu melepaskan jawatan mereka masing-masing, sekaligus memperlihatkan sikap degil dan keras kepala wakil-wakil UMNO/BN.

Apapun kemelut tersebut berakhir, apabila Menteri Besar selaku ketua kerajaan negeri yang diiktiraf oleh Ke Bawah Mulia Duli Tuanku Sultan Kedah, pada tanggal 17 April, mengumumkan perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat di seluruh daerah yang akan mewakili kerajaan Pakatan Rakyat dan berkuatkuasa serta - merta. Ahli Majlis tersebut diwakili oleh PAS + PKR + NGO.

Rakyat yang mendukong perjuangan menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat rasa lega dengan pengumuman tersebut kerana memberi signifikan kepada mereka khususnya berkaitan dengan polisi, dasar dan tindakan-tindakan yang bakal dilakukan oleh Majlis Daerah /Bandaran/Bandaraya.

Seseungguhnya, dalam tempoh ketiadaan wakil Ahli Majlis dari parti-parti yang memerintah telah memberi kelebihan kepada pihak Majlis daerah/Bandaran/Bandaraya yang terdiri kakitangan yang pro UMNO/BN menjalankan atau menguatkuasa apajua di bawah kuasa mereka secara terancang dan berselindung di sebalik undang-undang yang mereka cipta.

Oleh itu, kes penyerahan memorandum bantahan yang dilakukan oleh Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pasar Sehari Majlis Daerah Kubang Pasu adalah antara contoh tindakan oleh pihak Majlis Daerah mebuat keputusan dan menjalankan tugasa di atas nama undang-undang.

Menurut Setiausaha Persatuan, Zaini Baharom bahawa, keputusan Mesyuarat AJK Persatuan menyerah memorandum bantahan berhubung kenaikan bayaran petak berniaga di pasar malam dan pekan sehari dalam daerah Kubang Pasu adalah disebabkan kerana tidak pernah berlaku di zaman pemerintahan kerajaan UMNO/BN selama ini, sekaligus ia merupakan suatu denda kepada golongan peniaga yang ramai menyokongan PAS + PKR pada PRU 12 lalu’.

Beliau menambah, “Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah PAS yang memperkenalkan konsep “Kerajaan Berkebajikan” dan “Kedah Sejatera, Rakyat Selamat” hendaklah membuktikan kepada rakyat bahawa ia bukan kata-kata retorik dan isu kenaikan harga petak peniaga di pasar malam dan pekan sehari yang mencecah 200 peratus yang dikenakan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu adalah amat keterlaluan’.

Persatuan berkeyakinan bahawa isu kenaikkan sewa petak peniaga pasar malam dan pekan sehari tersebut, bukannya dating arahan kerajaan negeri, sebaliknya ia bersifat serampang ‘dua mata’ yang boleh berniat menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri, sekaligus menguntung politik UMNO/BN yang mereka sokong.

Tindakan Persatuan menyerah memo bantahan merupakan usaha untuk pihak berwajib Majlis Daerah Kubang Pasu dan kerjaan Negeri Kedah dapat membatalkan keputuasan tersebut, sekaligus pada masa akan dating sebarang tindakan yang berkaitan dengan peniaga khususnya, dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak Persatuan.

Zaini juga berkata, ‘Persatuan mengharapkan Ahli Majlis yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Rakyat dapat memainkan peranan mereka, sekaligus dapat memperjuangkan hak-hak rakyat seperti kami golongan peniaga pasar malam dan pekan sehari, majoritinya adalah dari golongan bumiputera yang pro kerajaan Pakatan Rakyat”.

Bersama-sama ini dilampirkan kandungan memorandum bantahan yang di email kepada penulis.

MEMORANDUM BANTAHAN KENAIKKAN KADAR SEWA TAPAK PENIAGA PASAR MALAM DAN PASAR SEHARI MAJLIS DAERAH KUBANG PASU


Kepada ,

YB Mohd Taulan Rasul
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang DiPertua
Majlis Daerah Kubang Pasu

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat
Daerah Kubang Pasu

Salinan Memorandum Turut DiSerahkan Kepada :

YAB Menteri Besar
Negeri Kedah Darul Aman


Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman dianggotai oleh seratus peratus peniaga Bumiputera yang juga menjadi penyokong kepada kerajaan Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan YAB Ustaz Hj. Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Adalah dimaklumkan bahawa saya mewakili Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman, mengambil ketetapan membantah perlaksanaan menaikkan kadar sewa petak pasar malam/pasar sehari yang telah ditentukan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu melalui surat hebahan bertarikh 10 April 2008 / No Rujukan : MDKP(HT) 339/11/1 Jld. 1(58) yang ditandatangani oleh Abdul Halim Hassan, Setiausaha Majlis Daerah Kubang Pasu.

Surat pekeliling yang dikeluarkan telah memaklumkan kadar sewa tapak akan dinaikkan kepada RM 3.00/petak bagi setiap tapak berkeluasan 6.0” x 8.0” yang akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2008.

Nota : Sebelum ini kadar sewa tapak hanyalah RM 1.00/tapak.

Berhubung dengan tindakan Majlis Daerah Kubang Pasu tersebut Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman mengambil ketetapan seperti berikut :-

1) Kenaikan kadar sewa tapak peniaga pasar malam/pasar sehari adalah terlalu tinggi dan perlu di tarikbalik.

2) Ketetapan untuk menaikkan kadar sewa oleh pihak berkuasa Majlis Daerah Kubang Pasu memperlihatkan sikap yang tidak peka dan seiring dengan dasar dan aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat (PAS + PKR) yang melaugkan slogan ‘Kedah Sejahtera, Rakyat Selamat’ dan menerapkan konsep pemerintahan ‘Negeri Berkebajikan’.

3) Tindakan menaikkan kadar sewa oleh pihak Majlis Daerah Kubang Pasu tanpa berunding terlebih dahulu dengan pihak Persatuan dan peniaga dalam Daerah Kubang Pasu, melambangkan sikap menggunakan kuasa ‘autonomi’ secara bebas, tidak menjalankan tugas secara profesional dan memikirkan tentang nasib para niaga yang majoriti golongan Bumiputera.

4) Persatuan juga berhak untuk membuat anggapan tindakan Majlis Kubang Pasu bertujuan untuk mensabotaj imej, integriti dan kepercayaan golongan peniaga dan rakyat terhadap kepimpinan baru di bawah kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah Darul Aman.

Sehubungan dengan ketetapan di atas, kami memohon kepada pihak berwajib dan berkaitan dengan Majlis Daerah Kubang Pasu supaya ;

1) Menarikbalik keputusan menguatkuasa kadar sewa tapak pasar malam/pasar sehari yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu.

2) Memastikan setiap keputusan yang melibatkan golongan peniaga pasar malam/pasar sehari dalam Derah Kubang Pasu hendaklah dirunding atau diadakan mesyuarat bersama terlebih dahulu.

3) Sekiranya bantahan Persatuan ini tidak dipedulikan, maka suatu bantahan besar-besar secara terbuka bersama rakyat dan NGO (badan bukan Kerajaan) yang prihatin dengan isu-isu berkaitan kepentingan peniaga bumiputera dalam Daerah Kubang Pasu akan diadakan pada bulan Mei akan datang.

Akhirnya, semoga hasrat memorandum bantahan dari pihak Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam/Pasar Sehari ini mendapat perhatian dari pihak tuan sekalian.


Yang Benar

SETIAUSAHA
PENIAGA PASAR MALAM DAN PEKAN SEHARI
DAERAH KUBANG PASU, KEDAH DARUL AMAN


----------------------------------

27 April 2008 / 20 Rabiul Akhir 1429

No comments: