Wednesday, April 30, 2008

Berita Panas - PAS Perlis Bergolak

Penulis mendapat maklumat bahawa PAS Perlis sedang mengalami krisis kepimpinan ekoran kekalahan teruk dalam PRU 12 lalu. Desakan oleh kepimpinan PAS Dun Beseri supaya Ustaz Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Perlis melepaskan jawatannya telah membuka mata banyak pihak, khususnya ahli dan penyokong PAS di Perlis.
Berita selanjutnya akan diulas oleh penulis tropongcerah.

Bayaran Letak Kereta Pekan Jitra Akan Dibatalkan

Majlis Daerah Kubang Pasu akan mula mengenakan bayaran letak kereta berkupon kepada pengguna di Pekan Jitra berkuatkusa pada 1 Jun depan.

Gambar yang diemailkan kepada penulis mendapati bahawa terdapat sekurang-kurangnya 5 helai kain rentang tentang pemakluman undang-undang pembayaran letak kereta tersebut yang di pasang sekitar Pekan Jitra dan PJ 2 sejak 3 minggu lalu.

Penulis dimaklumkan bahawa, isu bayaran letak kereta tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang rakyat dikalangan peniaga dan pengguna yang sering menggunakan kawasan letak kereta berkenaan untuk urusan seharian mereka. Namun, sehingga hari ini, walaupun tiada bantahan secara rasmi dari pengguna ia telah menjejaskan nama baik kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan PKR.


Bagi memastikan kesahihan berita tersebut, penulis mendapatkan komen dari salah seorang ahli Majlis Daerah Kubang Pasu oleh kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah Darul Aman.

Menurut, Abdul Aziz Hatt, 34, bahawa, ‘keputusan untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan bayaran letak kereta berkupon yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu adalah diluar pengetahuan kami dan bukan juga arahan dari kerajaan Kedah yang dipimpin oleh YAB Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak’.

Katanya lagi, ‘perlantikan secara rasmi Ahli Majlis (Angkat Sumpah) akan diadakan pada 12 Mei depan dan sebarang penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan Kerajan Tempatan Daerah Kubang Pasu adalah terletak di bawah tanggungjwab Yang DiPertua Majlis Kubang Pasu dan Setiausaha Majlis”.

“Adalah tidak betul jika rakyat ataupun mana-mana pihak menuding jari bahawa cadangan untuk mengenakan bayaran letak kereta di Pekan Jitra dan sekitarnya adalah keputusan yang di buat oleh kami ataupun arahan dari kerajaan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Abdul Aziz berjanji akan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Daerah yang akan diadakan selewat-lewat pertengahan bulan Mei akan datang, sekaligus akan mengemukakan usul membatalkan hasrat Majlis Daerah Kubang Pasu untuk menggenakan bayaran letak kereta di pekan Jitra tersebut.

‘InsyaAllah, pihak kami akan dapatkan penjelasan dari Yang DiPertua, Majlis Daerah Kubang Pasu, juga Pegawai Daerah Kubang Pasu tentang beberapa isu sejak kebelakangan ini yang amat disenangi oleh rakyat’ ujarnya.

Beliau menambah, ‘rakyat jangan panik dan cepat menelan berita-berita yang merupakan dakyah oleh pihak tertentu yang mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah lebih zalim dari UMNO/BN dan tidak mementingkan kepentingan rakyat’.

Tegasnya lagi, ‘Kerajaan Pakatan Rakyat tetap berpegang teguh kepada janjinya untuk membela kepentingan rakyat semua golongan, bangsa dan agama di negeri ini’.
'Rakyat wajar optimis bahawa, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah akan melaksanakan segala janji-janji dalam manifesto PRU 12 untuk membela kepentingan rakyat, sekaligus menjadi pemerintah yang adil, bertanggungjawab dan mesra rakyat', katanya menutup perbualan melalui talipon dengan penulis.

'KEDAH SEJAHTERA'
Itulah antara tulisan yang dipaparkan pada kain rentang berhubung pengumuman Majlis Daerah Kubang Pasu kepada pengguna untuk menggenakan bayaran letak kereta di sekitar Pekan Jitra dan Pekan Jitra 2, berkuatkuasa 1 Jun depan.
Apapun, penguatkuasaan ini dilakukan setelah kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan PKR yang telah di pilih oleh rakyat pada PRU 12 lalu.
Sumber yang dimaklumkan kepada penulis bahawa, penguatkusaan undang-undang tersebut di buat secara tergesa-gesa oleh pihak Majlis Daerah Kubang Pasu iaitu dalam tempoh ketiadaan Ahli Majlis Daerah baru, mewakili kerajaan Pakatan Rakyat.
Banyak pihak menyifatkan tindakan penguatkuasaan bayaran letak kereta oleh Majlis Daerah Kubang Pasu, bertuuan untuk mensabotaj imej dan integriti kerajaan baru, sekaligus mengikis keyakinan rakyat terhadap janji-janji semasa PRU 12 lepas.
Penulis berharap supaya Ahli Majlis dan Exco Kerajaan Tempatan dapat mengambil perhatian dan bertindak segera supaya kepercayaan rakyat tidak akan luntur.

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah Darul Aman dan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu
harus bertanggunjawab ke atas iklan untuk mengenakan bayaran
tempat letak kereta di Pekan Jitra, Kubang Pasu
yang akan bermula pada 1 Jun depan.

Monday, April 28, 2008

Ulasan Penulis

ISU - Peniaga Kubang Pasu Serah Memorandum Bantahan

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian. Kali ini saya memilih tajuk ‘Peniaga Kubang Pasu Serah Memorandum Bantahan’ sebagai tatapan yang dihimpun dari sumber-sumber yang diyakini betul dan bertanggungjawab. Sebarang komen, pandangan dan kritikan dialu-alukan untuk kebaikan semua pihak.

Penulis dimaklumkan, Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman telah bertemu tiga wakil Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu untuk menyerahkan ‘Memorandum Bantahan’ berhubung cadangan menaikkan bayaran sewa petak peniaga pasar malam dan pasar sehari dalam daerah itu.

Memo bantahan tersebut telah disampaikan oleh wakil Persatuan, iaitu, Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan AJK kepada Ahli Majlis Mesyuarat Daerah Kubang Pasu diwakili oleh Dr. Rohani Abdul Mutalib, Hj Aziz Jusoh dan Hj. Ismail supaya memo bantahan tersebut dapat diserahkan kepada kepada Datin Che Barni Mohd. Noor, 52, selaku Yang DiPertua Majlis Daerah Kubang Pasu dan salinannya dihantar kepada Menteri Besar Kedah dan YB Hj.Mohd taulan Rasul, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan.Yang DiPertua Majlis Daerah Kubang Pasu dan salinan kepada Menteri Besar Kedah dan YB. Mohd Taulan Rasul, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Daerah Kubang Pasu meliputi dua kawasan Parlimen iaitu Kubang Pasu dan Jerlun yang kedua-duanya di menangi oleh UMNO/BN. Parlimen Kubang Pasu diwakili oleh YB Dato’ Johari Baharom sejak 2004 lagi dan Dato’ Mukhriz Mahathir mewakili Parlimen Jerlun setelah memenangi kerusi tersebut pada PRU 12 lalu. Kedudukan DUN dalam Parlimen Kubang Pasu ia diwakili oleh kedua-duanya dari UMNO/BN dan Dun Ayer Hitam diwakili oleh YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad (PAS) yang merupakan Timbalan Speaker Kerajaan Pakatan Rakyat dan SiPuteh diwakili oleh ADUN lama mereka sejak tahun 1999 lagi.

Walaupun kedua-dua Parlimen dan tiga kerusi DUN dalam daerah Kubang Pasu dikuasi oleh UMNO/BN tidak bermakna mereka berkuasa ke atas pengurusan Majlis Daerah Kubang Pasu, apatah lagi terlibat untuk membuat dasar dan polisi berkaitan Kerajaan Tempatan di Daerah Kubang Pasu setelah rakyat memilih kerajaan Pakatan Rakyat (PAS + PKR) menerajui negeri Kedah.

Ironinya, setelah hampir dua bulan kerajaan Pakatan Rakyat diberi kuasa oleh rakyat untuk menerajui kerajaan, Ahli Majlis Mesyuarat Daerah/Bandaran/Bandaraya masih belum dilantik untuk memainkan peranan mereka.

Penulis dimaklumkan bahawa, kegagalan atau kelewatan ini berpunca dari sikap Ahli Majlis Mesyuarat Daerah /Bandaran/Bandaraya yang dilantik oleh kerajaan BN /UMNO terdahulu tidak mahu melepaskan jawatan mereka masing-masing, sekaligus memperlihatkan sikap degil dan keras kepala wakil-wakil UMNO/BN.

Apapun kemelut tersebut berakhir, apabila Menteri Besar selaku ketua kerajaan negeri yang diiktiraf oleh Ke Bawah Mulia Duli Tuanku Sultan Kedah, pada tanggal 17 April, mengumumkan perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat di seluruh daerah yang akan mewakili kerajaan Pakatan Rakyat dan berkuatkuasa serta - merta. Ahli Majlis tersebut diwakili oleh PAS + PKR + NGO.

Rakyat yang mendukong perjuangan menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat rasa lega dengan pengumuman tersebut kerana memberi signifikan kepada mereka khususnya berkaitan dengan polisi, dasar dan tindakan-tindakan yang bakal dilakukan oleh Majlis Daerah /Bandaran/Bandaraya.

Seseungguhnya, dalam tempoh ketiadaan wakil Ahli Majlis dari parti-parti yang memerintah telah memberi kelebihan kepada pihak Majlis daerah/Bandaran/Bandaraya yang terdiri kakitangan yang pro UMNO/BN menjalankan atau menguatkuasa apajua di bawah kuasa mereka secara terancang dan berselindung di sebalik undang-undang yang mereka cipta.

Oleh itu, kes penyerahan memorandum bantahan yang dilakukan oleh Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pasar Sehari Majlis Daerah Kubang Pasu adalah antara contoh tindakan oleh pihak Majlis Daerah mebuat keputusan dan menjalankan tugasa di atas nama undang-undang.

Menurut Setiausaha Persatuan, Zaini Baharom bahawa, keputusan Mesyuarat AJK Persatuan menyerah memorandum bantahan berhubung kenaikan bayaran petak berniaga di pasar malam dan pekan sehari dalam daerah Kubang Pasu adalah disebabkan kerana tidak pernah berlaku di zaman pemerintahan kerajaan UMNO/BN selama ini, sekaligus ia merupakan suatu denda kepada golongan peniaga yang ramai menyokongan PAS + PKR pada PRU 12 lalu’.

Beliau menambah, “Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah PAS yang memperkenalkan konsep “Kerajaan Berkebajikan” dan “Kedah Sejatera, Rakyat Selamat” hendaklah membuktikan kepada rakyat bahawa ia bukan kata-kata retorik dan isu kenaikan harga petak peniaga di pasar malam dan pekan sehari yang mencecah 200 peratus yang dikenakan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu adalah amat keterlaluan’.

Persatuan berkeyakinan bahawa isu kenaikkan sewa petak peniaga pasar malam dan pekan sehari tersebut, bukannya dating arahan kerajaan negeri, sebaliknya ia bersifat serampang ‘dua mata’ yang boleh berniat menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri, sekaligus menguntung politik UMNO/BN yang mereka sokong.

Tindakan Persatuan menyerah memo bantahan merupakan usaha untuk pihak berwajib Majlis Daerah Kubang Pasu dan kerjaan Negeri Kedah dapat membatalkan keputuasan tersebut, sekaligus pada masa akan dating sebarang tindakan yang berkaitan dengan peniaga khususnya, dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak Persatuan.

Zaini juga berkata, ‘Persatuan mengharapkan Ahli Majlis yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Rakyat dapat memainkan peranan mereka, sekaligus dapat memperjuangkan hak-hak rakyat seperti kami golongan peniaga pasar malam dan pekan sehari, majoritinya adalah dari golongan bumiputera yang pro kerajaan Pakatan Rakyat”.

Bersama-sama ini dilampirkan kandungan memorandum bantahan yang di email kepada penulis.

MEMORANDUM BANTAHAN KENAIKKAN KADAR SEWA TAPAK PENIAGA PASAR MALAM DAN PASAR SEHARI MAJLIS DAERAH KUBANG PASU


Kepada ,

YB Mohd Taulan Rasul
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang DiPertua
Majlis Daerah Kubang Pasu

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat
Daerah Kubang Pasu

Salinan Memorandum Turut DiSerahkan Kepada :

YAB Menteri Besar
Negeri Kedah Darul Aman


Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman dianggotai oleh seratus peratus peniaga Bumiputera yang juga menjadi penyokong kepada kerajaan Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan YAB Ustaz Hj. Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Adalah dimaklumkan bahawa saya mewakili Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman, mengambil ketetapan membantah perlaksanaan menaikkan kadar sewa petak pasar malam/pasar sehari yang telah ditentukan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu melalui surat hebahan bertarikh 10 April 2008 / No Rujukan : MDKP(HT) 339/11/1 Jld. 1(58) yang ditandatangani oleh Abdul Halim Hassan, Setiausaha Majlis Daerah Kubang Pasu.

Surat pekeliling yang dikeluarkan telah memaklumkan kadar sewa tapak akan dinaikkan kepada RM 3.00/petak bagi setiap tapak berkeluasan 6.0” x 8.0” yang akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2008.

Nota : Sebelum ini kadar sewa tapak hanyalah RM 1.00/tapak.

Berhubung dengan tindakan Majlis Daerah Kubang Pasu tersebut Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman mengambil ketetapan seperti berikut :-

1) Kenaikan kadar sewa tapak peniaga pasar malam/pasar sehari adalah terlalu tinggi dan perlu di tarikbalik.

2) Ketetapan untuk menaikkan kadar sewa oleh pihak berkuasa Majlis Daerah Kubang Pasu memperlihatkan sikap yang tidak peka dan seiring dengan dasar dan aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat (PAS + PKR) yang melaugkan slogan ‘Kedah Sejahtera, Rakyat Selamat’ dan menerapkan konsep pemerintahan ‘Negeri Berkebajikan’.

3) Tindakan menaikkan kadar sewa oleh pihak Majlis Daerah Kubang Pasu tanpa berunding terlebih dahulu dengan pihak Persatuan dan peniaga dalam Daerah Kubang Pasu, melambangkan sikap menggunakan kuasa ‘autonomi’ secara bebas, tidak menjalankan tugas secara profesional dan memikirkan tentang nasib para niaga yang majoriti golongan Bumiputera.

4) Persatuan juga berhak untuk membuat anggapan tindakan Majlis Kubang Pasu bertujuan untuk mensabotaj imej, integriti dan kepercayaan golongan peniaga dan rakyat terhadap kepimpinan baru di bawah kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah Darul Aman.

Sehubungan dengan ketetapan di atas, kami memohon kepada pihak berwajib dan berkaitan dengan Majlis Daerah Kubang Pasu supaya ;

1) Menarikbalik keputusan menguatkuasa kadar sewa tapak pasar malam/pasar sehari yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu.

2) Memastikan setiap keputusan yang melibatkan golongan peniaga pasar malam/pasar sehari dalam Derah Kubang Pasu hendaklah dirunding atau diadakan mesyuarat bersama terlebih dahulu.

3) Sekiranya bantahan Persatuan ini tidak dipedulikan, maka suatu bantahan besar-besar secara terbuka bersama rakyat dan NGO (badan bukan Kerajaan) yang prihatin dengan isu-isu berkaitan kepentingan peniaga bumiputera dalam Daerah Kubang Pasu akan diadakan pada bulan Mei akan datang.

Akhirnya, semoga hasrat memorandum bantahan dari pihak Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam/Pasar Sehari ini mendapat perhatian dari pihak tuan sekalian.


Yang Benar

SETIAUSAHA
PENIAGA PASAR MALAM DAN PEKAN SEHARI
DAERAH KUBANG PASU, KEDAH DARUL AMAN


----------------------------------

27 April 2008 / 20 Rabiul Akhir 1429

Perebutan Jawatan Speaker dan Senator, dua ADUN PKR Tinggalkan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah

Pertamanya penulis ingin meminta maaf sekiranya isu yang dipaparkan ini tidak disenangi oleh pembaca, apatah nama-nama individu yang terlibat. Isu dibangkitkan bertujuan untuk memberi pandangan dan teguran peribadi penulis seperti yang disaran oleh YAB Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak, juga selaku Pesuruhjaya PAS Kedah ketika memberi ucapan kepada Persatuan Bekas-Bekas Pelajar Maahad Mahmud, Alor Setar bulan lepas.

Penulis memilih isu kerana ia dianggap sangat signifikan dengan konsep dan falsafah kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat pada PRU 12 lalu. Kerajaan Pakatan Rakyat ialah kerajaan rakyat, maka rakyat perlu campur tangan dalam hal-hal dan isu-isu yang dirasakan boleh menjejaskan kestabilan, kekuatan dan keyakinan rakyat kepadanya, khususnya pada PRU 13 akan datang.

Betulkah isu berkaitan jawatan Speaker DUN Kedah dan Senator menjadi punca kepada tindakan dua ADUN PKR mengambil keputusan untuk menarik diri dalam gabungan Wakil Rakyat kerajaan Pakatan Rakyat. Mungkin jawapannya TIDAK dan akan diberikan jawapan lain kepada rakyat.

Apapun, penulis ingin menumpukan kepada isu perlantikan jawatan Speaker dan Senator seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Besar pada minggu lalu.

ISU PERLANTIKAN SPEAKER DAN SENATOR


Penulis cuba mendapatkan maklumat dari kakitangan di pejabat Badan Perhubungan PAS Kedah berhubung dengan perlantikan Dr. Mohd Isa Ismail sebagi Speaker. Tidak ada yang boleh memberi komen, sekadar komen ringkas, berbunyi, “sebab pandai bahasa Inggeris kot, lagipun dia doktor”.

Hahahahaha……hati penulis rasa tercuit dengar komen dari budak pejabat PAS Kedah itu.

Di lain hari, penulis mengorek pula cerita dari ‘orang kanan’ PAS Kedah, sebab apa Dr Mohd Isa dilantik sebagai Speaker, sedangkan masih ramai tokoh-tokoh PAS Kedah lain yang boleh dilantik ke jawatan tersebut sebagai menghargai dan mengiktiraf jasa-jasa mereka. Jawapannya spontan saja, ‘siapa yang nak usulkan nama lain tersebut….sekali lagi penulis rasa geli hati, bila mendengar jawapan tersebut.

Jika di ambilkira kedua-dua jawapan yang diberikan adalah syarat atau kriteria perlantikan jawatan Speaker, ia jelas telah menutup peluang orang kuat PAS atau tokoh-tokoh PAS Kedah yang berangan-angan menjadi Speaker di DUN Kedah supaya melupakan sahaja.

Kita tunggu kelas bahasa Inggeris dibuka oleh PAS untuk pemimpin PAS Kedah belajar dan bolehlah lantik Dr Mohd Isa Ismail yang telah dilantik oleh PAS Kedah sebagai Pengerusi Pendidikan PAS Kedah sebagai cikgunya. Lagipun selama ini Dr Mohd Isa belumpun buat apa-apa tentang pendidikan dalam PAS Kedah. Jauh sekali kalau nak fakir buat bangunan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), SMIDU ataupun SRIDU.

Mengimbau tentang tokoh-tokoh dalam PAS Kedah yang layak menjadi Speaker adalah terlalu ramai, jika ‘tidak diletakkan syarat’ mesti pandai berbahasa Inggeris. Kalau pandai Bahasa Melayu dan Bahasa Arab, penulis rasa lebih ramai berbanding yang boleh berbahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Sebab dari dulu, ahli-ahli PAS digalakkan mempelajari bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa syurga. Kalau hanya bahasa Melayu, lagi ramai yang layak menjadi Speaker.

Berbalik kepada isu perlantikan Dr Mohd Isa sebagai speaker kononnya kerana boleh cakap ‘Mat Salleh’, penulis rasa ia merupakan jawapan politik dan signal kepada Ustaz Hassan Abdul Razak ( Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah), Ustaz Abu Kassim L. Abdullah (Pengerusi Tetap PAS Pusat), Mohd Yusof Husin, penjaga Bukit Uhud (Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah) yang rapat dengan PAS Kedah supaya jangan pandai-pandai menawarkan diri mereka.

Jauh sekali kalau penulis nak sebutkan nama-nama seperti Ustaz Mohd Fauzi Husin, Sdr, Aris Awang, Hj. Mohd Najib Fahami Yahaya Al-Junaid, Cikgu Wahab Abdul Rahman, Mohd Taib Hj. Ahmad, Musoddak Hj. Ahmad, Hj. Adnan Saad, Sobri Awang dan banyak lagi nama yang mungkin telah dilupakan atas sebab-sebab tertentu.

Antaranya mungkin kerana mempunyai masalah peribadi dengan pemimpin atasan PAS Kedah. Lebih malangnya mereka bukan lepasan Universiti yang memiliki segulung ijazah. Di samping, mungkin sebahagian meraka agak vocal terhadap kepimpinan PAS Kedah. Namun, PAS jangan lupa, mereka adalah aktivis PAS yang tetap setia dan konsisten dengan perjuangan PAS sejak dulu.

Apapun, jawatan Speaker telah menjadi rebutan bukan dikalangan orang-orang PAS yang diyakini bersikap baik sangka, tawaduk dan menghormati keputusan Jamaah, tetapi dituntut oleh PKR dan Wakil Rakyat mereka di atas prinsip kerajaan Pakatan Rakyat. Sehingga kekecewaan mereka mendapatkan kerusi Speaker dan Senator di Kedah telah menyebabkan mereka membuat keputusan drastik yang mencalar nama baik kerajaan Pakatan Rakyat serta menimbulkan rasa kecewa dikalangan pengundi yang telah memberi undi pada PRU 12 lalu.

Oleh itu, alasan melantik Speaker mesti dari kalangan pandai berbahasa Inggeris tidak lagi menjadi perkara utama dan rasional kerana ia tekah menjejaskan integriti kerajaan Pakatan Rakyat, apabila tindakan dua Adun PKR mahu meninggalkan kerajaan Pakatan Rakyat, sekaligus sebagai pendorong kepada individu-individu lain berbuat demikian yang juga kecewa kerana tidak mendapat jawatan politik lainnya.

Sesungguhnya, alasan seorang Speaker mesti boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris adalah tidak wajar sama sekali. Ini kerana perbahasan dalam DUN Kedah mengunakan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu, hatta Titah Ucapan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Kedahpun menggunakan Bahasa Melayu.

Bagaimana sekiranya, Dr Mohd Isa Ismail dipilih sebagai MP Parlimen Kubang Pasu, atau kalau Dr Mohd Isa balik berpindah ke kampungnya di Beruas, Perak, adakah Dun Kedah tidak akan melantik Speaker.

Apakah kerajaan Kedah tidak sedar bahawa sejak 18 tahun, PAS Kelantan berkuasa tidak ada dikalangan Speaker mereka yang petah bertutur dalam Bahasa Inggeris, kecuali kemampuan mereka bertutur Bahasa Melayu loghat ‘Kelate’ dan Bahasa Arab sahaja.

Semoga perlantikan Ustaz Nasaruddin Daud, sebagai Speaker Kelantan untuk penggal ini tidak mengecewakan pimpinan PAS Kedah, sekaligus boleh mencemarkan imej kerajaan PAS Kelantan di bawah YAB Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Sunday, April 27, 2008

BERITA GEMPAR

BETULKAH, DUA ADUN PKR AKAN MENINGGAL KERAJAAN PAKATAN RAKYAT KEDAH

Penulis telah dimaklumkan oleh orang dalam PKR bahawa sekurang-kurangnya 2 Adun dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengisyitiharkan keluar parti dan meninggalkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui oleh PAS + PKR.

Berita tindakan dua Adun PKR ini semakin bertiup kencang di sebelah selatan Kedah dan penulis dimaklumkan bahawa PAS Kedah akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam ini untuk membincangkan isu berkaitan Adun PKR tersebut, sekaligus membuat persiapan menghadapi perkara-perkara di luar jangkaan.

Penulis tidak akan mengumumkan nama Adun tersebut sehinggalah ia benar-benar berlaku.
Sumber yang diperoleh oleh penulis, sebab musabab tindakan Adun tersebut adalah berpunca dari rasa tidak puas hati mereka berikutan dengan perlantikan jawatan politik yang sedang diagih-agihkan oleh pihak parti PAS dan PKR serta juga kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Jawatan Speaker DUN Kedah dan Senator adalah menjadi rebutan dikalangan pemimpin politik dari PKR dan PAS Kedah. Difahamkan berlaku tarik tali dan tawar menawar antara pemimpin keduabelah pihak sejak dari awal lagi yang berkesudahan dengan pengumuman jawatan Speaker dan Senator oleh YAB Menteri Besar, Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak.

Sebelum ini YAB Menteri Besar, telah mengumumkan jawatan Speaker DUN Kedah akan diberikan kepada Dr. Mohd Isa Ismail, (YDP Kubang Pasu), juga calon Parlimen Kubang Pasu yang kalah dalam PRU 11 dan PRU 12 lalu dan YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad (Adun Ayer Hitam) sebagai Timbalan Speaker. Di samping, satu kerusi untuk jawatan Senator telah diserahkan kepada Mohd Yusof Husin, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah yang mengelarkan dirinya sebagai penjaga ‘Bukit Uhud’.

Jika benar berlakunya tindakan keluar parti oleh dua Adun PKR ini, jelas ia memberi tamparan hebat kepada kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru dua bulan membentuk kerajaan negeri. Umum mengetahui bahawa, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah adalah yang paling cepat dan pertama di bentuk selepas PRU 12 lalu, berbanding dengan Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Apatah lagi kalau kita melihat kekalutan pembentukan kerajaan negeri di bawah UMNO/BN seperti berlaku di Perlis dan Terengganu yang amat memalukan rakyat Malaysia.

Komen seorang veteran PAS Kedah tentang isu ini ialah, ‘pemimpin PAS Kedah janganlah terlalu tamakkan kuasa politik, sehingga mengabaikan kawan-kawan dalam PKR yang bersama dalam Pakatan Rakyat’.

Beliau menambah, “Jika perlu jawatan Speaker dan Senator diberikan kepada mereka untuk memantapkan kerajaan Pakatan Rakyat dan hubungan parti, maka berilah kepada mereka’.

Akhirnya, penulis mengharapkan supaya Ustaz Azizan dapat mengambil langkah yang bijaksana dalam politik seperti yang ditunjukkan oleh Al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor yang memperkenalkan konsep ‘tahaluf siyasi’, ketika mengharungi cabaran memenangkan PAS di era 1990 dan 1999 lalu. Atas kebijaksaannya, pada 8 Mac 2008, pengundi dari keturunan Cina, India dan Melayu khususnya telah menumbangkan kerajaan UMNO/BN sehingga terbentuknya lima buah negeri Pakatan Rakyat.

TERKINI

MEMORANDUN BANTAHAN PENIAGA KUBANG PASU

Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam dan Pekan Sehari Majlis Daerah Kubang Pasu menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Daerah Kubang Pasu yang diwakili oleh PAS Kubang.

Maklumat yang diperolehi penulis, memo bantahan tersebut adalah berkaitan tindakan menaikkan sewa tapak berniaga di pasar malam dan pekan sehari sehingga mencecah dua ratus peratus dan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan peniaga yang juga menjadi penyokong kuat kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Berita menyusul selepas ini. Penulis tropongcerah.blogspot.com

Desas-Desus

Peluang Terbuka Ustaz Azizan Intai Kerusi Timbalan Presiden PAS

Semasa pemilihan jawatan tertinggi PAS beberapa tahun lalu, wakil Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Firdaus Jaafar (kini MP Jerai) telah menyatakan pendirian terbuka mereka dan melobi para perwakilan ke Muktamar PAS Pusat ketika itu mencalon dan memilih Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak sebagai Timbalan Presiden PAS.

Katanya, “para perwakilan ke Muktamar perlu memilih calon-calon kepimpinan tertinggi PAS daripada kalangan mereka yang banyak bercakap tentang negara Islam (merujuk kepada Ustaz Azizan)kerana itulah perjuangan sejati PAS”.

Hujah mereka lagi, Ustaz Azizan merupakan pemimpin PAS yang telah diasuh secara langsung oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor sejak dari zaman pengajian di universiti lagi dan bertanggungjawab membawa masuk Ustaz Azizan ke dalam PAS setelah beliau bersara daripada mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sehingga memberi ruang kepada Ustaz Azizan berada dalam saf kepimpinan PAS Pusat dan PAS Negeri Kedah.

Ustaz Azizan juga diyakini dapat bekerjasama dan membantu Presiden PAS iaitu Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang bagi menghadapi cabaran politik semasa, di samping memberi suntikan tenaga kepada PAS Kedah untuk membawa cabaran menghadapi Pilahanraya Umum 12.

Menurut Dewan Pemuda PAS Kedah bahawa, Ustaz Azizan memiliki peribadi mulia, sekaligus memenuhi ciri-ciri sebagai kepimpinan Islam yang diperlukan oleh PAS. Ia juga merupakan tokoh yang akan menyambung kepimpinan ulamak yang menjadi teras kepada perjuangan PAS.

Walaupunpun begitu, kritikan keras para perwakilan dan orang-orang tertentu terhadap Ustaz Azizan ketika menjawat Naib Presiden PAS, yang dikatakan ‘tak mesra muslimat’ dan tidak berkemampuan menggariskan hala tuju perjuangan PAS, di samping dianggap berfikiran konservatif.
Oleh itu, hasrat Dewan Pemuda PAS Kedah meraih sokongan pencalonan dari kawasan-kawasan tidak memberangsangkan termasuklah oleh PAS kawasan dalam Negeri Kedah sendiri seperti Kuala Kedah, Pokok Sena dan Kulim/Bandar Bharu. Ketiga-tiga kawasan berkenaan adalah diketuai oleh YB Mahfuz Omar (YDP Pokok Sena), YB Ir. Pharolrazi Zawawi (YDP Kuala Kedah) dan Ustaz Hassan Abdul Razak (Kulim/Bandar Baru), ketiga-tiga mereka juga adalah Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
Kesan kritikan dan tidak mendapat pencalonan dari ketiga-tiga kawasan tersebut membuka ruang kepada pihak luar mengatur serangan kepada PAS, kononya berlaku angin perubahan di dalam PAS, terdiri golongan muda dan profesional menolak kepimpinan ulamak berfikiran konservatif seperti Ustaz Azizan. Sebaliknya mereka terus mengekal Ustaz Nasaruddin Mat Isa, tokoh muda yang juga di asuh secara langsung oleh Al-Marhum Ustaz Hj. Fadzil Mohd Noor semasa hayatnya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden.
Setelah ketiadaan sokongan yang memberangsangkan tersebut, maka percubaan Dewan Pemuda PAS Kedah menempatkan Ustaz Azizan di kerusi Timbalan Presiden tidak berkesampaian dan diganti dengan tokoh ulamak konservatif PAS lain iaitu Ustaz Dr, Haron Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bertanding kerusi berkenaan. Keputusannya, para perwakilan mengekalkan Ustaz Nasaruddin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden PAS buat penggal ke-2, sekaligus akan meneruskan amanah dan berganding bahu dengan Dato Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang membawa cabaran PAS di dalam persada politik Malaysia.

Namun, kejayaan PAS Kedah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat melalui PRU 12 lalu, boleh dan telah mengubah persepsi ahli PAS dan rakyat tentang Ustaz Azizan, kini sebagai Menteri Besar Kedah dan Pesuruhjaya PAS Kedah. Namanya melonjak naik dikalangan pemimpin PAS seluruh kawasan di negeri Kedah, termasuk di beberapa negeri seperti Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang.
Penulis difahamkan bahawa, sudah ada gerakan di peringkat kawasan-kawasan di negeri Kedah untuk memulakan kempen mencalonkan Ustaz Azizan sebagai Timbalan Presiden, walaupun pemilihan jawatan tertinggi parti akan diadakan tahun depan. Kelebihan yang dimiliki oleh Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar Kedah membolehnya menampilkan kemampuan menjadi pemimpin kepada parti dan rakyat, serta membawa cabaran memimpin kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri pelbagai golongan, agama, bangsa dan budaya.
Kini, Ustaz Azizan semakin dikenali bukan oleh ahli PAS dan rakyat di Kedah, bahkan dikalangan luar Kedah.

Maklumat dari orang yang dekat dengan Badan Perhubungan PAS Kedah bahawa sudah kedengaran sembang-sembang untuk mengatur jawatan Timbalan Presiden PAS kepada Ustaz Azizan. Gerakan awal mendapatkan respon dari ahli diperingkat akar umbi telah dimulakan secara 'tertutup'.
Penulis menjangkakan pencalonan untuk Ustaz Azizan ke jawatan Timbalan Presiden oleh kawasan-kawasan seluruh Kedah adalah lebih baik, berbanding dengan tahun sebelumnya. Ada beberapa faktor yang akan mempengaruhi ke arah pencalonan Ustaz Azizan sebagai Timbalan Presiden PAS mengganti YB. Ustaz Nasaruddin Mat Isa. Faktor-faktor tersebut akan diulas oleh penulis pada masa akan datang.

Cukuplah sekadar penulis mengatakan bahawa, telahan Dewan Pemuda PAS yang mengatakan Ustaz Azizan adalah pemimpin yang konsisten bercakap tentang Negara Islam, apabila beliau semakin vokal mempertahan dasar dan prinsip perjuangan PAS yang berhubungkait dengan Negara Islam.
Isu terbarunya ialah keberanian Ustaz Azizan memberi kritikan keras kepada Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh tentang komennya supaya PAS melupakan hasrat untuk menubuhkan Negara Islam di Malaysia yang diwakili oleh masyarakat majmuk.

Di atas kapisiti sebagai ketua kerajaan yang di pilih oleh rakyat, Ustaz Azizan bingkas membidas pandangan Karpal Singh yang dianggapnya ‘orang yang tak tahu tentang Negara Islam’ supaya menutup mulut. Perang mulut antara Ustaz Azizan dan Karpal telah mendapat liputan meluas media, sehingga terpaksa dicampur tangan oleh YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am supaya pemimpin dalam Pakatan Rakyat membincangkan menumpukan perbincangan lain yang lebih penting.

Ketokohan Ustaz Azizan semakin menyerlah apabila kemampuannya dalam tempoh dua bulan membuat dasar-dasar baru kerajaan Pakatan Rakyat yang memihak dengan hasrat dan citarasa rakyat. Kini, kaum India, Cina dan Siam sudah ramai menyokong PAS melalui penyertaan mereka ke dalam Kelab Penyokong PAS.

Di arus sokongan rakyat dan ahli-ahli PAS Kedah ke atas kepimpinan Ustaz Azizan telah membuka jalan kepadanya untuk mengintai kerusi Timbalan Presiden PAS, walaupun belum ada kenyataan terbuka daripadanya.

Akhirnya penulis ingin mengungkapkan pepatah bahawa, ‘Kalau tidak ada angin, pokok tidak akan bergoyang’.

PAS Kedah, Mohd Yusof dan RM 100 Ribu

Kejayaan PAS Kedah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat dengan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRU 12 lalu memang tidak di luar jangkaan UMNO/BN dan PAS sendiri. Perkara ini turut diulas oleh kedua-dua pemimpina parti yang berkenaan. Ini termasuklah komen ‘orang kuat’ PAS kedah iaitu Mohd Yusof Husin, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah.

Selepas kemenangan bergaya PAS Kedah dalam PRU 12 lalu, Mohd Yusof telah mendapat sekurang-kurangnya tiga gelaran baru iaitu, pertamanya pada malam Ceramah Perdana sempana menyambut Kemenangan PAS di Batu 9, Kota Sarang Semut yang telah dihadiri ratusan ribu manusia, Ustaz Azizan Hj Abdul Razak, Pesuruhjaya PAS Kedah merangkap MB Kedah, telah memperkenalkan kepada umum, Mohd Yusof (Pengerusi Majlis malam itu) sebagai ‘arkitek’ yang menyusun strategi kemenangan PAS Kedah dalam PRU 12.

Kedua, Mohd Yusof sendiri telah mengisyitiharkan dirinya sebagai penjaga ‘Bukit Uhud’ yang tidak akan meninggalkan Badan Perhubungan PAS Kedah seperti catatan Shukor Haron, penulis Harakah tentang kekagumannya kepada Mohd Yusof setelah mendengar penegasannya, ‘walaupun PAS mencapai kemenangan, Perhubungan PAS Kedah memutuskan bahawa Mohd Yusof tetap meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah dan ‘tidak ke mana-mana’ yang membawa maksud memegang apajua jawatan dalam kerajaan negeri Kedah ataupun jawatan politik lain.

Mohd Yusof menegaskan bahawa, ‘kami tidak akan meninggalkan Bukit Uhud’. Kami - yang dimaksudkan oleh Mohd Yusof mungkin kakitangan yang berkerja di pejabat Perhubungan PAS Kedah dan juga Kapten (B) Zamri, Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Kedah dan Ustaz Man, Setiausaha Jabaan Penerangan PAS yang paling setia dan akan mencipta rekod perkhidmatan paling lama sebagai Setiausaha Jabatan Penerangan Peringkat Negeri di bawah beberapa orang Ketua Penerangan PAS Kedah.

Dan ketiga, Mohd Yusof akan bergelar Yang Berhormat selepas ini kerana di lantik sebagai Senator mewakili salah satu kerusi kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah. Namun begitu, sebelum ini ia juga digelar sebagai Ketua Mujahiddin kerana merupakan orang kanan As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya yang terkorban di dalam Peristiwa Berdarah Memali (1988) lalu.

Kembali semula kepada tajuk yang ingin dibincangkan oleh penulis ialah berkaitan dengan cerita seorang taikun balak Melayu di Kedah telah menyumbangkan wang sejumlah RM 100 ribu kepada PAS Kedah selepas PRU 12 lalu. Tujuan dan niat pemberian itu tidak diketahui oleh penulis kecuali dirinya sendiri.

Dikhabarkan ia diberi selepas PAS Kedah berjaya membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan YAB Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak selaku Pesuruhjaya PAS Kedah. Namun penulis mendapat maklumat bahawa, taikun balak berkenaan turut memberi sumbangan sebanyak RM 3.5 juta kepada Mahadzir Khalid dalam PRU 12 lalu. Tujuan dan niatnya penulis tak tahu.

Jelasnya, Mahadzir Khalid pada ketika itu adalah Ketua Perhubungan UMNO/BN Kedah, juga sebagai Menteri Besar Kedah.

Mungkin wang sebanyak RM 3.5 juta itu boleh digunakan untuk mengerakkan jentera Pilahanraya UMNO/BN yang sememangnya mereka perlu di upah untuk melakukan kerja semasa Pilahanraya. Tetapi, apadaya, nasib tidak menyebelahi Mahadzir Khalid dan UMNO/BN Kedah, apabila pengundi dari keturunan Melayu, India, Cina dan sebahagian Siam telah menolak lebih separuh calon Dun dan Parlimen dari UMNO/BN, sekaligus membolehkan kuasa pemerintahan beralih kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan PKR.

Wang RM 100 ribu yang diberi oleh taikun tersebut di terima dengan rasa bersyukor dan kagum oleh sebahagian pegawai dan petugas PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS Kedah, kerana ia dianggap rezeki dan hikmah hasil kemenangan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Ada yang sudah pasang angan-angan dengan wang didermakan tersebut, walupun Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak belum dimaklumkan tentang pemberian wang itu.

Apa yang mengembirakan penulis, apabila perkara itu sampai kemakluman Ustaz Azizan dengan pantas dan tegas mengarahkan supaya wang itu dikembalikan kepada taikun balak tersebut.

Tindakan itu di buat mungkin berdasarkan kepada perkiraan tidak mahu terjebak atau terhutang budi dengan taikun balak berkenaan. Di samping, penulis yakin Ustaz Azizan ingin memastikan tidak wujud budaya memberi oleh orang-orang tertentu kepada PAS atau petugasnya yang bergelar ‘penjaga Bukit Uhud’, apatah lagi selepas diberi kuasa oleh rakyat. Kebimbangan ini, mungkin di atas kesedaran takutkan kepada fitnah dan rasuah.

Tahniah di atas kebijaksanaan Ustaz Azizan membuat keputusan mengembalikan semula wang RM 100 ribu tersebut sehingga membingungkan pihak yang telah memasang angan-angan terhadap wang tersebut.

Cerita yang yang dibisikan ke telinga penulis dan membuat penulis rasa terpanggil untuk memaparkan cerita ini ialah berkenaan tindakan di luar keputusan PAS Kedah oleh ‘orang kuat’ di pejabat Badan Perhubungan PAS Kedah dan juga sebagai orang kuat di sebuah kawasan dalam Kedah, juga bertanding di dalam PRU 11 dan PRU 12 lalu telah menggunakan RM 10 ribu dari wang tersebut.

Tujuannya tidak dijelaskan kepada penulis dan bukan isu penting di sini. Isu pentingnya ialah PAS Kedah terpaksa memikirkan, bagaimana untuk mencukupkan jumlah wang RM 100 ribu tersebut untuk dikembalikan semula kepada pemberi berkenaan. Dari mana pula wang RM 10 ribu hendak di cari oleh PAS Kedah, melainkan ia datang dari sumbangan orang ramai samada melalui kutipan derma dalam ceramah-ceramah PAS.

Penulis harap ia boleh jadi satu pengajaran kepada individu-individu dan kepimpinan PAS di semua peringkat yang berjawatan politik dalam kerajaan ataupun yang mempunyai hubungan rapat dengan kuat dalam kerajaan supaya lebih berhati-hati dengan pemberian yang bakal di beri oleh mana-mana pihak yang kita tidak ketahui tujuan dan niat di sebaliknya pada masa depan.

Percayalah selepas ini, lebih banyak ujian yang bakal mendatang bukan kepada Ustaz Azizan sahaja, tetapi kepada orang-orang kanan PAS yang mempunyai pengaruh dan hubungan yang rapat kerajaan negeri Kedah.

Thursday, April 24, 2008

Jawatan Senator Telah Meruntuhkan Bukit Uhud

Assalam mualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian. Kali ini saya memilih tajuk ‘Adakah Bukit Uhud Telah Runtuh’ sebagai tatapan yang dihimpun dari sumber-sumber yang diyakini betul dan bertanggungjawab. Sebarang komen, pandangan dan kritikan dialu-alukan untuk kebaikan semua pihak.

Sumber diperolehi oleh penulis tentang Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kedah pada Sabtu (19 April) telah bersetuju melantik Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah iaitu saudara Mohd yusof Husin sebagai senator mewakili kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah. Selepas ini Mohd Yusof akan bergelar Yang Berhormat. Sudah pasti perlantikan ini merupakan berita gembira kepada keluarga, sahabat handai, penduduk Kg. Memali dan rakyat Baling, khususnya.

Menurut dari orang yang rapat dengan pemimpin PAS Kedah, YAB Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak, Pesuruhjaya PAS merangkap Menteri Besar Kedah membuat pengumuman Mohd Yusof dilantik sebagai Senator mewakili kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah. Namun, satu lagi kerusi Senator belum diumumkan kerana masih dalam pertimbangan pihak kerajaan negeri dan Badan Perhubungan PAS Kedah.

Mohd Yusof adalah aktivis PAS Kedah, merupakan orang kanan As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dalam Peristiwa Memali (1988) yang telah mencatatkan sejarah hitam politik Malaysia tentang siri-siri kezaliman di zaman pemerintahan UMNO/BN yang berketuakan Mahathir Mohammed.

Peristiwa Memali telah mendorong kepada penahanan Mohd Yusof lebih 2 tahun di Pusat Tahanan Kemunting di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA). Sejak penglibatannya dengan PAS, banyak jawatan penting yang telah diamanahkan kepadanya oleh parti iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Kedah dan juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah (sehingga sekarang) setelah perletakan jawatan sdr. Aris Awang (Kuala Kedah) sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah.

Apa yang menarik ialah perlantikan Mohd Yusof sebagai Senator telah menimbulkan banyak persoalan, di samping mengejutkan banyak pihak dari PAS. Ini kerana sebelumnya terdapat nama-nama lain yang telah diwar-warkan sebagai Senator yang mewakili kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Antara nama yang disebut-sebut ialah Ustaz Hassan Abdul Razak (Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah), merupakan orang kuat PAS di bahagian selatan Kedah yang telah berkerja kuat dalam PRU 12 lalu yang banyak berkorban dari segi tenaga, masa dan puluhan ribu wang ringgit kepada PAS Kedah.

Ada sumber yang memberitahu, Ustaz Hassan telah memberi sumbangan kewangan sebanyak RM 40 ribu kepada tabung Pilihanraya PAS Kedah. Di samping, sanggup menolak cadangan sebagai calon bertanding di dalam PRU 12, semata-mata untuk menjadi jentera sepenuh masa membantu tugas-tugas Pesuruhjaya PAS (Ustaz Azizan) di bahagian selatan Kedah yang meliputi Kulim/Bandar Bharu dan Padang Serai yang telah menyapu bersih semua kerusi yang bertanding diwakili oleh PAS dan PKR. Sekaligus menyumbang kepada kemenangan yang memboleh kerajaan Pakatan Rakyat di bentuk di negeri Kedah. Itulah sumbangan besar Ustaz Hassan yang menjadi faktor kuat diperkatakan oleh ahli-ahli PAS dan pengundi tentang kelayakannya untuk menjadi seorang Senator.

Di samping itu, Ustaz Abu Kassim yang menjadi Pengerusi Tetap PAS Pusat iaitu bekas orang kuat PAS Kedah di era 80an dan 90an juga disebut sebagai calon yang layak menjadi Senator. Ini kerana, harapan penyokongnya untuk melihat Abu Kassim dilantik sebagai Speaker Kerajaan Pakatan Rakyat tidak berkesampaian kerana jawatan tersebut telah diserahkan kepada Dr. Mohd Isa Ismail, iaitu calon PAS yang kalah di Kubang Pasu dalam PRU 11 dan PRU 12.

Oleh itu, kumpulan Abu Kassim mendesak supaya kepimpinan PAS Kedah melantiknya sebagai Senator. Menurut penyokongnya dari Kubang Pasu bahawa, jawatan Senator wajar diberi kepada Abu Kassim kerana merujuk kepada sumbangan dan pengorbanannya kepada PAS, bukan sahaja di Kubang Pasu, bahkan di negeri Kedah sejak tahun 60an hinggalah sekarang.

Di samping dua tokoh tempatan, pemilik blog 'Merah Tinta MSO' pula mencadangkan supaya kerajaan di bawah PAS (Kedah dan Kelantan) melantik Hj. Subky Latif dan Hj. Mohammad Sabu sebagai Senator. Ia berdasrakan pengorbanan mereka dari segi masa, fikiran dan tenaga dalam perjuangan PAS yang terlalu besar. Seakligus ia sebagai tanda cenderahati PAS di atas pengorbanan mereka tersebut.

Namun, ada juga yang mengharapkan supaya kerajaan PAS dari dua buah negeri tersebut dapat melantik Senator dari kalangan tokoh-tokoh PAS di negeri Bumi Kenyalang (Sarawak) dan Negeri Di Bawah Bayu (Sabah) sebagai penghargaan kepada mereka yang turut sama memperjuangkan Islam di sana melalui wadah PAS. Sekurang-kurangnya, perlantikan Senator dari negeri Sabah dan Sarawak akan menyemarakkan daya juang dan semangat pendokong PAS di sana.

Bagi penulis, pandangan ini juga amat releven dengan situasi politik semasa, di mana parti PKR dan DAP mempunyai wakil mereka dari kedua-dua negeri tersebut. Sedangkan PAS yang sejak dulu meletakkan calon bertanding, tetapi tewas kerana kurang taring, ekoran dari budaya politik Sabah dan Sarawak yang bersifat perkauman. Adanya Senator dari negeri berkenaan dapat membuka jalan kepada PAS memberi khidmat yang lebih baik dan efisyen kepada rakyat serta mampu bertindak menyuarakan pandangan mereka yang mewakili rakyat di Dewan Negara.

Namun begitu isu perlantikan Senator menjadi ribut dalam cawan dikalangan pemimpin dan ahli-ahli PAS di Kedah, walaupun tidak seburuk yang berlaku kepada UMNO/BN ketika berkuasa . Masing-masing cuba memberi cadangan dan pandangan masing-masing. Ada pandangan yang disifatkan baik untuk PAS dan juga yang bersifat untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu. Sesungguhnya, kebijaksaan kepimpinan PAS membuat keputusan adalah dituntut, supaya perlantik Senator bukan sebagai

Hasil pengamatan penulis, sekurang-kurang ada tiga puak yang telah berkerja kuat melobi pimpinan PAS Kedah ke jawatan Senator tersebut. Puak Pertama, lobi yang dilakukan orang dalam sendiri iaitu penjawat penting dalam Badan Perhubungan PAS Kedah dan Jabatan Pilihranya PAS (JPN) Kedah yang mempunyai hubungan rapat, khususnya dengan Pesuruhjaya PAS dan Dewan Harian PAS Kedah. Di mana, puak ini telah melobi supaya jawatan Senator tersebut diberikan kepada salah seorang anggota Dewan Harian PAS Kedah yang tidak mempunyai apa-apa jawatan politik dalam kerajaan.

Daripada tinjauan mendapati hanya empat orang sahaja yang tidak menduduki apa-apa jawatan politik dalam kerajaan iaitu Ustaz Hassan Abd Razak (Timbalan Pesuruhjaya 3), Mohd Yusof Husin (Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah), Ustaz Zawawi Hj Ahmad (Ketua Ulamak PAS Kedah) dan Ustaz Mosodak Hj Ahmad (Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah) yang kalah bertanding di DUN Bayu dalam PRU 12 lalu. Lain-lain anggota Dewan Harian, semuanya telah bergelar YB di peringkat DUN / Parlimen dan di lantik menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco).

Puak kedua, ialah dari parti PKR yang mahu Ketua Badan Perhubungan PKR Kedah yang kalah bertanding dalam PRU 12 di tangan Mahadzir Khalid (DUN Pedu) dilantik sebagai Senator. Alasan mereka bahawa kerjasama PKR lah yang membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah dibentuk dengan mudah. Bagi PKR, kepimpinan PAS perlu bertolak ansur kepada PKR kerana mereka telah berjaya memainkan peranan penting dalam PRU 12 lalu, sekaligus boleh meredakan desakan ahli-ahli PKR Kedah yang merasakan mereka tidak banyak mendapat tempat di dalam perlantikan di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat di peringkat Daerah.

Puak ketiga, Jemaah Islamiyah Malaysia (JIM) yang kini sedang memasang angan-angan mereka untuk menguasai dan mempengaruhi pentadbiran kerajaan Kedah melalui wakil-wakil mereka yang menyertai PAS samada sebagai saf kepimpinan di peringkat kawasan, maupun negeri.

Penulis mendapat maklumat dari orangdalam Wisma Negeri bahawa puak ini melobi kuat mahukan calon mereka yang kalah iaitu Dr. Rohani Abdul Mutalib (DUN Jitra), Ketua Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu, juga merupakan Ketua Penerangan, Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah menjadi Senator di atas alasan mengisi kouta wanita untuk memperjuangkan hak-hak berkaitan wanita di Dewan Negara kelak. Namun, maklumat dari Kubang Pasu, Dr. Rohani Abdul Mutalib sendiripun tidak tahu menahu tentang ‘lobi’ mereka ini yang dikatakan boleh menyebabkan timbulnya fitnah ke atas dirinya dalam kepimpinan Dewan Muslimat PAS di peringkat kawasan dan juga Negeri.

Lebih merumitkan keadaan, kumpulan JIM ini telah mendakwa bahawa mereka telah menjalankan kerja kuat membantu calon di DUN Anak Bukit (Amiruddin Hamzah), DUN Jitra (Dr. Rohani Abdul Mutalib) dan Parlimen Kubang Pasu (Dr. Mohd Isa Ismail). iaitu sejak PRU 11 (2004) yang lalu. Pada PRU 12 lalu, sumber jentera PAS Kubang Pasu memaklumkan kepada penulis bahawa, Dr. Mohd Isa Ismail (Calon Parlimen 2004) telah menerima sumbangan sebanyak RM 30 ribu berupa wang saku kegunaan peribadi. Apa yang pelik, wang itu hanya diperuntukkan kepadanya seorang, walupun yang bertanding 2004 di peringkat DUN Bukit Hitam (Cikyu Nayan Saad) dan DUN Jitra (Dr. Rohani Abdul Mutalib), wang itu tidak diberi melalui jentera PAS Kubang Pasu yang tidak mempunyai wang tabungan Pilihanraya yang mencukupi.

Namun, pengamatan beberapa pihak tentang perlantikan jawatan politik oleh kerajaan Kedah ataupun PAS Kedah telah memperlihatkan beberapa orang kanan dari PAS Kedah telah mendapat habuan mereka masing-masing. Perlantikan ini di buat atas alasan kelayakan yang di ukur dari taraf pendidikan, komitmen dan kerja kuat mereka dalam PRU 12 lalu, di samping tidak boleh dinafikan mempunyai hubungan ‘special’ dengan pemimpin PAS Kedah tertentu. Antara jawatan politik yang menjadi rebutan dan dianugerah kepada mereka ialah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Daerah di bawah potfolio YB Mohd Taulan Rasul dan Ahli Lembaga Pengarah Anak Syarikat Kerajaan Negeri Kedah (GLC) yang dipengerusikan oleh YB. Amiruddin Hamzah selaku Exco yang berkenaan.

Walaupun pengumuman perlantikan orang-orang kanan PAS di peringkat Negeri dan kawasan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Daerah di tempat masing-masing telah di buat pada hari Khamis (17 April) oleh kerajaan Kedah, namun sehingga ke tarikh laporan ini di tulis mereka yang berkenaan masih belum ‘mendapat kuasa’ untuk menjalankan tugas, ekoran kelewatan majlis angkat sumpah.

Penulis keliru, siapakah yang berhak untuk melakukan upacara angkat sumpah jawatan Ahli Majlis tersebut. Adakah Yang DiPertua Majlis Daerah yang juga Pegawai Daerah ataupun Kerajaan Negeri Kedah sendiri.

Apapun kelewatan mengaktifkan Ahli Majlis telah menyebabkan calon-calon yang telah disahlantik oleh kerajaan negeri, sudah mula merasa mual dan bosan kerana berlaku kelewatan perlantikan tersebut yang tidak ditangani dengan sewajarnya oleh exco yang telah dipertanggung-jawabkan menjalankan tugas tersebut. Sehinggakan berlaku banyak hal-hal yang berunsur sabotaj telah terjadi yang boleh merugikan imej dan political millage PAS sebagai sebuah Kerajaan Berkebajikan.

Peliknya, walaupun kerajaan Kedah merupakan kerajaan 'pertama’' dapat dibentuk selepas PRU 12 dengan sokongan dari Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Kedah berbanding dengan kerajaan-kerajaan negeri lain yang berada di bawah Pakatan Rakyat, namun dari segi perlaksanaannya kerja-keraj penting yang melibatkan rakyat amat lewat dan lembab. Perkara ini sedang diperhatikan dan hangat dibincangkan oleh rakyat di peringkat bawahan, sehingga ada yang berpendapat kepimpinan kerajaan Kedah dan PAS Kedah tidak tahu menggunakan kuasa yang dimiliki oleh mereka sehingga banyak tindakan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Pegawai Daerah) yang dipercayai melakukan pelbagai sabotaj untuk memburukkan kerajaan PAS yang melaungkan slogan 'Kedah Sejahtera, Rakyat Selamat' dan 'Kerajaan Berkebajikan'.

Lebih membinggungkan penulis ialah mengapa tidak di undang rakan-rakan dari Kelantan dan Terengganu yang berpengalaman memerintah untuk memberi pandangan dan tunjuk ajar dalam hal-hal begini. Kerajaan Kedah dan PAS harus sedar bahawa majoriti penjawat awam di Majlis Daerah, Bandaran dan Bandaraya di Kedah adalah terdiri daripada juak-juak UMNO/BN. Apakah dengan kelunakan MB Kedah yang mengisyitiharkan bahawa dalam polisi pengambilan penjawat awam tidak di ambil kira soal latarbelakang seseorang, asalkan mereka menjalankan tugas secara beretika dan professional.

Penulis nak bertanya, sejak bila pimpinan PAS boleh mengakui bahawa UMNO/BN menjalankan tugas secara beretika dan professional. Jika mereka beretika dan profesioanl tidaklah berlaku hal-hal berkaitan kronisme, nepotisme dan korupsi dalam pentadbiran mereka. Oleh itu, lupakan saja hasrat untuk melihat mereka itu beretika dan profesioanl sekiran MB Kedah tiadk mampu untuk mentarbiyyah mereka seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (MB Kelantan) yang mempunyai formula dan metod dakwah yang konsisten, khususnya berkaitan pengursan kalbu.

Di sini, dicatakan sedikit contoh isu-isu yang telah membusukkan nama baik PAS dan kerajaannya, apabila Pihak Berkuasa Tempatan dalam daerah Kota Setar telah mengambil tindakan secara melampau mendenda, menghalang dan mengangkut gerai-gerai penaiaga, khususnya dari kalanagn bumiputera yang berniaga di sekitar bandaraya Alor Setar dengan alasan melanggar undang-undang. Sepatutnya tindakan yang boleh mencemarkan imej PAS dan kerajaan tidak berlaku dan perlu ditangani dengan segera oleh Exco yang berkenaan. Jangan sampai peniaga merasakan mereka dizalimi dengan memasukkan pasir ke dalam periuk nasi mereka baru kita nak bertindak.

Dalam daerah Kubang Pasu pula, berkuatkuasa pada 1 Mei 2008 akan datang, yuran penjaja pasar malam dinaikkan dari RM1.00 di zaman pemerintahan UMNO/BN kepada RM3.00 di zaman pemerintah kerajaan yang melaung-laungakan slogan 'Kedah Sejahtera, Rakyat Selamat' dan 'Kerajaan Berkebajikan'. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila, pengguna letak kereta di sekitar bandar Jitra dan Bandar Darulaman bermula akan dikenakan bayaran letak kereta berkupon yang akan berkuatkuasa pada 1 Jun akan datang. Di samping, gerai sementara peniaga di bahu-bahu jalan di kawasan ini telah diangkut ke pusat simpanan Majlis Daerah sebagai tindakan kononnya mereka berniaga tanpa mendapt lesen. Dimaklumkan, ramai orang kuat PAS dalam kawasan menjadi sasaran sindiran, kutukan malah sampai ke peringkat di maki hamun oleh pihak yang telah dikenakan tindakan tersebut kerana sebelum ini mereka telah dikempen supaya mengundi PAS untuk membuat perubahan dalam kehidupan.

Penulis nak bertanya kepada Exco berkenaan, apa dah jadi ? Adakah YB Mohd Taulan terlalu sibuk melayan rakyat di DUN Tokai dan Sala sahaja ataupun masih teraba-raba untuk melihat ruang kuasa bertindak membela rakyat Kedah. Bagi penulis, isu yang berbangkit boleh tuntas dengan segera, jika perlantikan Ahli Majlis diaktifkan secepatnya dan arahkan mereka semua memantau serta menyemak semula keputusan yang membebankan rakyat Kedah. Harap-harap dengan teguran ini, YB Mhd Taulan janganlah pula nak letak jawatan Exco.

Berbalik semula kepada persoalan perlantikan jawatan-jawatan politik oleh PAS Kedah selepas berjaya menguasai tampuk pemerintahan kerajaan negeri, telah membentuk 'budaya baru' dalam PAS.

Budaya baru yang dimaksudkan adalah merujuk kepada satu pandangan yang dilontarkan oleh seorang veteran PAS Sungai Petani ketika bersembang dengan penulis berhubung dengan jawatan-jawatan politik yang dilantik oleh PAS Kedah, menyebabkan sudah menular budaya ‘main politik kotor’ di kalangan orang-orang yang berpengaruh untuk menaik dan menjatuhkan seseorang terutama dalam merebut jawatan-jawatan politik yang penting dalam kerajaan negeri.

Jangan marah kalau penulis mengatakan bahawa, sudah ada pertikaian atau ‘perang dingin’ antara Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar dan Pegawai Khas Menteri Besar. Pertikaian ini bukan kerana soal prinsip ataupun berkisar untuk memberi khidmat terbaik dalam pentadbiran atau kepada rakyat. Khabarnya ia berlaku berkisar soal siapa yang layak dan juga imbuhan bulanan yang bakal diperolehi.

Kalau tidak silap penulis bagi jawatan Setiausaha Politik, penjawat berkenaan berhak mendapat pencen bila habis tempoh berkhidmat. Sebaliknya jawatan Setiausaha Akhbar dan Pegawai Khas tidak ada pencen. Uhhhhss….pencen menjadi sandaran pada mereka sekarang. Bagaimana dengan petugas PAS di peringkat cawangan, kawasan, UPU, MTD dan lain-lain lagi jawatan di perimgkat parti yang langsung tidak mendapat sebarang imbuhan samada dalam bentuk gaji bulanan, apatah lagi pencen.

Inilah budaya baru bagi sesetengah pemimpin PAS bila dah berkuasa. Gaji dan pencen menjadi matlamat mereka, bukan lagi pengorbanan ikhlas yang mengharapkan pahala dari Allah SWT.

Ironisnya, mengapakah perkara mengejar jawatan ini boleh terjadi ? Apakah signifikannya jawatan yang bakal diperolehi oleh orang-orang tertentu yang pandai melobi kepada ahli-ahli PAS dan rakyat Kedah yang majoritinya masih miskin dan susah.

Adakah kerana jawatan yang bakal disandang untuk memberi sumbangan khidmat kepada rakyat Kedah dan juga untuk turut sama menyumbang ke arah ‘Kedah Sejahtera, Rakyat Selamat’ ‘Kerajaan Berkebajikan’ atau kerana sesetengan pemimpin PAS sudah terliur berlenja dengan habuan dunia dalam bentuk gaji bulanan dan pencen.

Penulis mewakili rakyat terbanyak menaruh harapan menggunung kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang berjanji ketika berkempen tidak akan mengulangi kejelekan UMNO/BN yang memerintah selama 50 tahun lebih. Rakyat dapat melihat tanah Melayu habis terjual, ekonomi raykat luar Bandar ibarat ‘kais pagi makan apgi, kais petang makan petang’ kehidupan yang terancam kerana kadar jenayah yang meningkat saban minggu, bulan dan tahun serta macam-macam lagi.

Kata veteran PAS Sungai Petani, ‘Sebelum PAS memerintah susah untuk orang-rang tertentu menerima jawatan yang mahu dilantik oleh parti, tetapi sekarang mereka juga yang berebut-rebut jawatan, kerana ia menjanjikan habuan dalam bentuk gaji bulanan, maupun elauan mesyuarat’.

‘Pak Sheikh..inilah masanya kita nak kaut, kalau tidak bila lagi….antara ungkapan seorang yang pemimpin PAS di peringkat kawasan.

Penulis ingin mengajak pembaca merenung sejenak iaitu jika jawatan politik yang dikejar dalam kerajaan bukan lagi bersandarkan kepada tujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat dan parti, sebaliknya kerana mengejar glamour, imbuhan seperti gaji bulanan, elaun serta wang pencen selepas bersara, maka PAS Kedah telah mengorak langkah mendahului UMNO/BN menuju kepada penolakan undi rakyat dalam PRU 13 akan datang. Jika budaya perebutan jawatan sudah melekat di benak hati dan pemikiran orang-orang penting PAS yang bermatlamatkan kepada wang (duaniwi), maka ia tidak ada bezanya dengan pemimpin UMNO/BN yang telah di tolak oleh rakyat dalam PRU 12 lalu.

Kenyataan Mohd Yusof dalam laporan Harakah, lidah rasmi PAS pada keluaran minggu pertama April 2008 tentang hasratnya bersama petugas parti untuk terus kekal berkhidmat kepada PAS sebagai petugas parti di Badan Perhubungan PAS Kedah tanpa mengharapkan jawatan dalam kerajaan amat mengharukan dan menginsafkan penulis betapa ikhlasnya beliau.

Menariknya, penegasannya untuk menjaga Badan Perhubungan PAS Kedah bersama-sama teman lain umpama menjaga ‘Bukit Uhud’, tanpa terpengaruh dengan habuan duniawi oleh mereka yang cintakan dunia. Kini setelah pengumuman Pesuruhjaya Kedah tentang perlantikan Mohd Yusof sebagai Senator telah mengundang pelbagai andaian yang sukar untuk dirungkaikan.

Bagi penulis, keyakinan kepada ayat Allah yang bermaksud, “Masih belum beriman seseorang itu selagi belum diuji” akan dipegang erat hingga ke akhir hayat.

Apapun, penulis mengharapkan dan terus berdoa kepada Mohd Yusof bahawa perlantikannya sebagai Senator bukannya di buat atas desakan mana-mana dari tiga kumpulan yang dicatatkan dalam ruangan ini, juga bukan kerana mengejarkan habuan bulanan yang mencecah ribuan ringgit serta wang pencen selepas habis tempoh perkhidmatannya nanti. Sebaliknya keputusan perlantikan tersebut adalah keputusan kolektif kepimpinan PAS yang mengambilkira contoh dan tauladan yang pernah di buat oleh Almarhum Ustaz Hj Fadzil Mohd Noor, pemimpin yang kita sayangi.

Penulis merasakan untuk melahirkan pejuang tulen, berkarismatik dan bercakap serupa bikin seperi Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor di dalam PAS yang melaungkan perjuangan Islam amatlah susah, kecuali nawaitu yang tersemat di sanubari yang suci murni dan dibuktikan dengan tindakan zahir yang dapat diliahat oleh manusia di sekeliling dan Allah Yang Maha Mengetahui tentang hambaNya.

Oleh itu, harapan rakyat mahu melihat PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat tidak seperti UMNO/BN akan menjadi kenyataan dan PAS Kedah tidak dihukum berat oleh pengundi seperti terjadi kepada PAS Trengganu yang dilihat amat kuat dan bertenaga tetapi tidak berjaya membentuk kerajaan di dalam PRU 11 dan PRU 12 lalu, apatah lagi untuk mengikut pencapaian PAS Kelantan mengekalkan kuasa pemerintahan sejak 1990 sehingga sekarang.

Akhirnya penulis mohon ampun dan maaf jadi terdapat rangkap-rangkap penulisan yang menyentuh hati mana-mana pihak. Apapun penulisan melalui blog Tropongcerah adalah bersifat penegur untuk kita yang mendukong perjuangan Islam melalui wadah PAS tidak terbabas serta ‘Gugur Di Sepanjang Jalan’.

Terima Kasih.
TERKINI...

Penulis mendapat maklumat bahawa sebahagian dari pimpinan dalam Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah merasa kecewa dengan perubahan sikap YB Aishah Ghazali, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Menurut sumber yang boleh dipercayai bahawa, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah yang telah menjadi ADUN Merbau Pulas merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah di bawah kerajaan Pakatan Rakyat telah mengabaikan pandangan rakan-rakan seperjuangan dalam Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah Darul Aman. Rasa kurang senang tersebut telah diluahkan oleh seorang orang kuat Muslimat Kedah dari Pendang berhubung dengan perubahan sikap dan arahan dari Ketuanya supaya muslimat tidak datang berjumpa dengannya di pejabatnya di Wisma Darul Aman kerana dikhuatiri akan menganggu urusannya selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Penulis akan memaparkan isu ini pada pada edisi akan datang. Harap pembaca bersabar.

Wednesday, April 23, 2008

Almarhum Fadzil Mohd Noor Arkited Kemenangan Pakatan Rakyat PRU 12

Pendahuan
Untuk penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah ‘Aqidah dan Perjuangan’ oleh Ustaz Fadzil Noor yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.Lapan tahun Presiden PAS, dan Ketua Pembangkang yang berkaliber Dato’ Fadzil Mohd Noor sudah pergi meninggalkan kita.
Lapan tahun itu sebenarnya masih terlalu muda kerana hanya minggu lalu kita mengecapi ‘kejayaan’ yang sebetulnya dirintis oleh almarhum. Tanpa menafikan Anwar Ibrahim sebagai pemangkin kejayaan Barisan Rakyat baru-baru ini, ustaz Fadzil Noor adalah insan yang pertama memungkinkannya.

Buat mereka yang masih muda dan tidak pernah mendengar nama beliau, ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama’ terkenal di Kedah asal Patani.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Semasa memimpin ABIM, ‘aspirasi rakyat yang baru kita kenal manisnya 8 Mac lalu’ telah pun diharung dengan penuh kepahitan oleh Ustaz Fadzil Noor. Sebelum Tian Chua, Mohamad Sabu, dan pimpinan Hindraf pandai berdemonstrasi ustaz Fadzil telah turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974. Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Al-marhum telah menjadikan perjuangan membela rakyat sesuatu yang sebati. Dan itu bukan hanya kata-kata kerana Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap saya hujung tahun 1970an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram. Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Beliau tidak lain tidak bukan adalah aspirasi dan inspirasi pimpinan Barisan Rakyat hari ini yang beria-ia memperjuangkan perhimpunan aman di bawah satu sistem demokrasi yang adil.

Oleh kerana kedegilan Ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap. Dan penangkapan itu telah meledakkan kemarahan di Kuala Trengganu jauh lebih lama sebelum berlaku peristiwa Batu Buruk tahun lalu. 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera. Hasil perundingan dengan pihak polis Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

Beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah. Seingat saya ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan UMNO mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama YDP PAS Kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin. Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan berikutan kematian Hj. Shaari.

Mengapa saya katakan Ustaz Fadil sebagai arkited kemenangan rakyat 8 Mac lalu?

1.Barisan Rakyat Mendapat Semangat Beliau

Tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban paling besar, mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengh-tengah tragedi Memali. Dalam sejarah kebangkitan rakyat bagi konteks Malaysia (yang dikecapi manisnya generasi baru 8 Mac lalu), peristiwa Memali adalah suatu peristiwa hitam yang merupakan penindasan kuasa angkuh.

Sebagai antara pembantu Prof Zulkifli Muhammad sebelum itu ustaz sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan kaum-kaum bukan Melayu. Kita semua tahu Prof Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzil lah maka beliau menggerakkan pakatan CCC, di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam. Barisan Rakyat yang disifatkan oleh Haji Husam sebagai buta warna (kerana rakyat tidak mengira apa ia merah, hitam atau hijau) 8 Mac lalu beroleh manfaatnya dari kerja-kerja awal ustaz inilah.

2.Kebijaksanaan Politik Melampaui Zaman

Idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah.Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan menguasainya sehingga 8 Mac lalu.

Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan. Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat ‘membantu’ Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008. Ini menunjukkan Ustaz Fadzil memilih essence Islam iaitu membantu dan menghulur tangan kepada ‘golongan yang tertindas’. Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan ‘Amerika Syarikat’, ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara. Wan Azizah ‘terkontang-kanting’ untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir. Jika tidak kerana ustaz Fadzil yang merintis kerjasama ini, Parti Keadilan sudah lama hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

”Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini”

Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dan perjuangan Islam pada pilihanraya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.

Juga kebijaksanaan ustaz telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam – menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.

3.Pemimpin Tidak Lupa Sejarah

Sebagai pemimpin yang bijak pendekatan tahaluf siyasi yang dikemukakan oleh Ustaz Fadzil Noor itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.

Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan ‘pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam’ ini. Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.

Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu juga PAS adalah berakarumbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya dijadikan model baru bagi perjuangan PAS yang telah diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.

Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA. Jika tidak kerana apa yang dirintis oleh PAS ini, Bersih, gerakan untuk memberi kuasa kepada rakyat bagi menentang ketidakadilan dan penyewengan demokrasi belum tentu menjadi kenyataan. Bersih kemudiannya menjadi Barisan Rakyat yang menghukum parti tertentu dalam pilihanraya baru-baru ini.

4. Menjadikan Poros Islam Political Force

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengenengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.
Menyedari itu, PAS dibawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islam lah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung. Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang berwajah wahabi dengan penuh bijak untuk menjuarai Islam aktual berteraskan waqi atau keadaan setempat. Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.

Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana: a. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; b. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; c. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan e. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

PAS telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.

Tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin Barisan Rakyat hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi ‘isi’lah yang menjadi keutamaan.

Dengan persefahaman untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya bersama DAP; parti kiri berteras kaum itu secara tiada sedar telah menerima essence Islam. DAP ‘diasuh’ memahami yang negara Islam secara praktiknya adalah negara berkebajikan yang berteras agama, yang agama itu pula membela hak asasi dan menyebelahi golongan tertindas.

Penutup

Perjuangan PAS dan Ustaz Fadzil Noor dalam menggerakkan pemurnian semula penyelewengan demokrasi termasuk pelbagai akta yang menyekat dan mencabul hak asasi rakyat di negara ini adalah tunggak kejayaan rakyat baru-baru ini.

Rakyat yang melakukan perubahan 8 Mac lalu mesti kenal bapa kebangkitan ini: Ustaz Fadzil Noor. Pemimpin yang ada sekarang, baik sebesar manapun beliau hanyalah penerus sahaja. Tanpa usaha al-marhum ustaz, hampir tidak terfikir Barisan Rakyat berada di kedudukan ini.
Untuk jasa dan sumbangan ustaz Fadzil Noor kerana menggerakkan barisan rakyat, yang hasilnya dituai oleh sebahagian besar rakyat pada 8 Mac lalu, moleklah jika pembaca beragama Islam menghadiahkan al-fatihah untuk al-marhum. Al-Fatihah.

Dipetik daripada laman Faizal Tehrani