Saturday, May 3, 2008

Pesuruhjaya PAS Perlis Di Minta Berundur


Keputusan PRU 12 yang memperlihatkan terbentuknya lima buah negeri di bawah gabungan PAS, PKR dan DAP telah membuka mata banyak pihak. Bagi sesetengah pemimpin PAS dan UMNO/BN, keputusan PRU 12, adalah suatu tsunami politik yang telah dilakukan oleh rakyat (pengundi) yang melibat tiga kumpulan kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Ada pemimpin PAS, secara spontan mengatakan bahawa mereka tidak menjangka sama sekali akan dapat membentuk sebuah kerajaan mengantikan UMNO/BN kerana pada perkiraan politik semasa PAS hanya mampu menambahkan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Namun, apabila peti undi di buka dan di kira, di pusat-pusat pembuangan undi ternyata rakyat di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor telah membuat kejutan kepada pemimpin kedua-dua parti (pemerintah dan pembangkang), apabila mereka menolak UMNO/BN yang telah berkuasa selama 50 tahun.

Di samping, Kelantan terus mengekalkan kuasanya dengan menang majoriti besar berbanding hanya kelebihan satu kerusi dalam PRU 11 lalu.

Sebaliknya, Terengganu yang menjadi negeri ‘target’ PAS mengambil alih pemerintah di bawah rejim Idris Jusoh (UMNO/BN) yang korup wang rakyat dan melakukan pelbagai masalah kepada rakyat tidak berjaya ditumbangkan. Begitu juga Perlis, negeri utara di Semenanjung yang sarat dengan tokoh-tokoh yang bertanding atas tiket PAS telah kecundang di tangan UMNO/BN, sekaligus melenyapkan cita-cita mereka (Pemimpin PAS) untuk menjadi kerajaan di sana.

Berikutan dengan kegagalan PAS Perlis menunjukkan prestasi cemerlang di dalam PRU 12 lalu, maka kedengaran suara-suara dari ahli bawahan mahukan berlaku pertukaran pucuk kepimpinan parti di negeri itu.

Menurut surat terbuka yang dipaparkan oleh Tranungkite, seorang Ahli PAS cawangan Beseri melahirkan rasa hairannya di atas kekalahan PAS Perlis yang dianggap teruk kerana kerusi yang dimenangi Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz hasyim Jasin di DUN Sangalang pada PRU 11 lalu, gagal dipertahankan.

Katanya lagi, ‘Nasib baiklah kekalahannya digantikan dengan kemenangan PAS di DUN Simpang Empat, kalau tak, pembangkang tidak ada wakil langsung dalam DUN Perlis.

Kegagalan PAS Perlis mengekal dan menambah kerusi di dalam DUN Perlis dan merampas sekurang-kurang satu kerusi Parlimen di negeri itu, telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang berkisar tentang kelemahan, sikap memilih bulu dan berfikiran sempit dikalangan kepimpinan PAS Perlis yang menjadi penyebab utama UMNO/BN masih boleh mengekalkan kuasa mereka.

Kini, tiada kedengaran suara-suara yang menyatakan kegagalan PAS Perlis berpunca penipuan oleh Suruhajaya Pilihanraya (SPR) yang mengendalikan PRU 12 lalu seperti yang di dakwa berlaku pada PRU 11 lalu. Sebaliknya, ahli-ahli merasakan ia adalah faktor kepimpinan PAS Perlis yang dianggap lemah, suka memilih bulu, berfikiran sempit dan tidak mampu membawa cabaran politik semasa yang lebih kompleks dan rencam.

Sehubungan itu, ada penyokong PAS di negeri itu mendesak PAS Pusat memikirkan untuk menggantikan jawatan Pesuruhjaya PAS Perlis yang sedang dipegang oleh Ustaz Hasyim Jasin kepada pemimpin yang lain pula. Ramai berpendapat bahawa, PAS Perlis memiliki tokoh-tokoh yang lebih hebat untuk menggantikan Pesuruhjaya sekarang. Antara nama-nama yang di sebut boleh menggantikan Ustaz Hasyim Jasin ialah Dato’ Dr. Harun Din (Timbalan Mursyidul Am), Haji Anuar Tahir (AJK PAS Pusat), Dr. Aziz Hanafi (Pendahwah dan Bekas Pensyarah), Ustaz Ahmad Ali (Bekas Pensyarah dan ADUN), Al-Hafiz Ustaz Zainal Abidin dan mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Hj Ismail Ahmad.

Menurut ahli PAS Beseri tersebut, “Saya bukanlah nak menyalahkan seratus peratus kekalahan teruk PAS Perlis kepada Ustaz Hasyim, tetapi saya kecewa, walaupun UMNO Perlis berpecah antara kem Shahidan dan Radzi, semasa PRU 12 lalu, tetapi PAS gagal memanfaatkan peluang keemasan sekurang-kurangnya mampu menambah bilangan kerusi di DUN Perlis untuk menjadi pembangkang yang kuat’.

Di samping, jawatan Pesuruhjaya yang perlu ditukar, jawatan Pengarah Pilihanraya Pas Negeri yang disandang oleh Karim Mat Rejab juga perlu diserahkan kepada orang lain. Ini kerana, PAS Perlis perlukan kepimpinan baru yang lebih segar, terbuka dan berorientasikan rakyat bawahan pelbagai latarbelakang, kaum, ugama dan taraf hidup bukannya kroni tertentu sahaja, katanya lagi.

Pemuda PAS Perlis, Sokong Mufti Perlis

Penulis yang mengkritik kelemahan kepimpinan PAS Perlis yang tidak respon terhadap program Karnival Jom Heboh yang mendapat bantahan dari Dato’ Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis pada hari semalam telah terjawap.

Laporan Harakahdaily (3 Mei), memetik kata-kata Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPNPs),” Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) menyambut baik kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan dengan Festival Jom Heboh anjuran sebuah stesen Televisyen swasta yang bakal berlangsung di negeri ini selama dua hari mulai hari ini.

Ketuanya, Ustaz Ya'akub Abu Seman mengalu-alukan sikap Dr Mohd Asri yang ternyata menyerlahkan tugas sebenarnya sebagai seorang mufti.

Beliau menambah, "Pemuda PAS Perlis seiring dengan pandangan Mufti Perlis berkaitan sebarang program yang tidak memberikan manfaat terhadap perkembangan minda golongan remaja khususnya dan rakyat negeri ini amnya," jelasnya.

Ustaz Ya’akub turut bersetuju dengan larangan penyanyi Faizal Tahir mengadakan persembahannya konsert Jom Heboh di Perlis seperti yang ditegaskan oleh Mufti Perlis.

PAS Perlis tidak melarang mana-mana artis mengadakan persembahan mereka di negeri tersebut, sekiranya mereka boleh menampilkan imej yang memenuhi peraturan yang ditetapkan. Artis berkenaan hendaklah mengubah imej dan gaya penampilan serta mengadakan persembahan yang mengikut lunas-lunas agama dan tidak terkeluar dari peraturan yang ditetapkan.

Namun, Jabatan Mufti Perlis pada dasarnya tidak mengeluarkan fatwa mengharamkan program Karnival Jom Heboh, anjuran TV3, sebaliknya rasa dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama. Oleh itu, Jabatan Mufti Perlis mencadangkan garis panduan tertentu sebagai panduan pelaksanaan program Karnival Jom Heboh yang hendak diadakan di Negeri Perlis.
Antara cadangannya ialah :-

Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis.

Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah terkawal dan berdisiplin.

Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan.

Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti, secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.

Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan.

Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaan-kepercayaan misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti kayu koka tidak dibenarkan.

Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyian-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak menghormati agama.

Dua tahun lalu, Harakahdaily sendiri pernah menyiarkan berita tentang konsert Jom Heboh yang diadakan mengganggu jemaah yang sedang bersolat Isyak di sebuah masjid berhampiran.

Friday, May 2, 2008

Mufti Perlis Cergas, PAS Perlis Pula Monyok

Sejak PRU 12 lalu, Mufti Perlis, Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
telah membuat pelbagai kenyataan yang mengejut pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan UMNO/BN dan individu-individu yang memandang serong terhadapnya.
Sebelum ini, Mufti Perlis tersebut telah meminta pemimpin kerajaan UMNO/BN yang telah memerintah lebih 50 tahun di Negara ini meminta maaf kepada rakyat di atas kesilapan yang mereka telah lakukan, di samping juga bertaubat kepada Allah SWT.
Isu terkini ialah tindakan Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri Perlis yang dikuasi UMNO/BN, supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei di Perlis.
Surat bantahan tersebut, menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut, sekaligus melarang artis Faizal Tahir membuat persembahannya di program Jom Heboh yang akan diadakan tersebut.
Ketika mengulas tentang surat bantahannya, "Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan.
Ia berbeza dengan pendapat Mufti Perak yang suatau ketika pernah mengeluarkan fatwa bahawa adalah haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.
Dr Mohd Asri menjelaskan, " jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya".
Beliau berkata bahawa, "Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita 'banned' semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata.
"Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.
Penulis amat menghargai keberanian dan kejujuran Mufti Perlis menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri Perlis supaya memantau perjalanan Karnival Jom Heboh kerana ia dibimbangi banyak mendatangkan keburukan dan kebaikan.
Waktu sama, penulis juga merasa hairan dengan sikap PAS Perlis, khususnya para pemimpinnya yang mendiamkan diri terhadap isu ini.
Adakah PAS Perlis telah hilang semangat juangnya kerana kalah teruk di dalam PRU 12. Ataupun masih keletihan kerana bertungkus lumus bertarung dengan UMNO/BN semasa PRU 12 lalu.
Apakah betul dengan dakwaan mutakhir ini yang mengatakan kepimpinan PAS Perlis tidak mampu untuk mendepani cabaran semasa samada di sudut politik dan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat. Kemana perginya Ketua dan Dewan Ulamak dan Ketua dan Dewan Pemuda PAS Perlis yang merupakan sayap kanan parti, sepatutnya bingkas bangun mempertahankan maruah dan akidah umat Islam yang sememangnya akan dirosakkan melalui program seperti Karnival Jom Heboh ini.
Jika PAS Perlis dan kepimpinan sudah hilang kepekaan terhadap gejala-gejala yang boleh merosakkan akidah dan maruah muda-mudi serta umat Islam di negeri itu, bagaimana PAS Perlis akan mendapat kepercayaan rakyat sebagai pembela Islam di masa akan datang.
PAS Perlis janganlah menganggap bahawa Karnival Jom Heboh adalah di bawah tanggungjawab kerajaan semata-mata dan semata-mata mengambil isu tanpa bertindak lebih konstruktif supaya kerajaan dan rakyat dapat melihat kesungguhnya untuk memastikan kehidupan manusia menjurus kepada perintah Allah SWT. Adakah iman kepimpinan PAS Perlis hanya tinggal tersemat di dalam hati nurani sahaja, tanpa mampu lagi menzahirkannya melalui tangan dan suara.
Oleh itu, penulis berharap dengan kepekaan Mufti Perlis sejak kebelakangan ini menjadi titik tolak kepada PAS Perlis berganding bahu dengannya membenteras segala aktiviti yang tidak bermoral di Perlis pada masa depan. Walaupun Dr Mohd Asri adalah seorang Dato’ Mufti di bawah pemerintahan kerajaan UMNO/BN, bukan menjadi alasan dan penghalang kepada PAS Perlis untuk duduk berbincang dengannya dalam hal-hal yang berkaitan umat Islam, khususnya.
Penulis optimis, jika PAS Perlis dapat menguasai kerajaan Perlis pada PRU1 2 lalu, Dr Mohd Asri akan dikekalkan sebagai Mufti Perlis juga seperti mana yang berlaku apabila kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak mengekalkan Mufti mereka masing-masing.
PAS Perlis jangan menjadi sebuah jamaah atau parti politik yang berfikiran sempit (jumud) dan tidak mampu melihat realiti semasa.
Selamat berjuang kepada PAS Perlis dan jangan monyok lagi.

Satu Lagi Tindakan Kerajaan Tempatan, Sabotaj Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah

Baru-baru ini, pengusha burung layang-layang sekitar Sungai Petani terkejut dengan tindakan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPk) mengeluarkan notis agar semua pengusaha mengemukakan plan dalaman pengubahsuaian dalam masa 14 hari sebelum tindakan diambil.

Pemeliharaan burung layang-layang menjadi satu perniagaan komoditi ayang menguntungkan kerana permintaan tinggi di luar Negara seperti Hong Kong, Singapura, Taiwan, China dan Thailand. Harga sekilogram sarang burung layang-layang yang sudah diproses mencecah hingga ribuan ringgit.

Menurut laporan, Indonesia adalah negara pengekspot sarang burung layang-layang terbesar di dunia dengan nilai jualan sekurang-kurangnya USD 150 juta setahun. Di Malaysia, perniagaan burung layang-layang merupakan bidang baru yang diterokai oleh kaum Cina. Negeri Perak dan Perlis adalah pengeluar burung layang-layang kormesil yang terbesar, di samping ia juga diperolehi secara semulajadi dari Gua Niah, Sarawak dan beberapa daerah di Sabah.

Kini, sekurang-kurangnya di sekitar Sungai Petani terdapat 500 pengusaha manakala seluruh Kedah sebanyak 2000 orang yang menjalankan perniagaan tersebut yang dianggarkan bernilai RM 20 juta setahun.

Berhubung dengan tindakan MPSPk yang mengeluarkan notis arahan tersebut, rata-rata pengusaha kesal dan berpendapat ia suatu usaha orang dalam MPSPk untuk mensabatoj kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan PKR di Kedah. Ini kerana, notis tersebut bukannya arahan kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak.

Bagi meredakan kegelisahan pengusaha sarang burung layang-layang di seluruh Sungai Petani, berkumpul Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai, Dr. Mohd Hamdan Khalib yang juga Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah telah mengadakan pertemuan.

Dalam pertemuan tersebut pengusaha terbabit menyampaikan rasa tidak puas hati mereka terhadap MPSPk, di samping menyakini MPSPk sedang berusaha samada memburukkan pemerintahan PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Penaung Persatuan Pedagang-Pedagang Burung Layang-Layang Malaysia, David Lim menegaskan, jika tindakan MPSPk direstui atau diarahkan oleh Kerajaan Negeri, ia adalah tindakan yang amat memalukan kerana selama pemerintahan Barisan Nasional (BN) mereka tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu.

David Lim menambah, ‘jika tindakan MPSPk bukan arahan dari Kerajaan Negeri, ia bermakna ada matlamat tertentu orang dalam MPSPk memburuk-burukan Kerajaan Negeri’.

"Jika andaian terbukti untuk memburukkan kerajaan Kedah, pihak Persatuan mencadangkan kepada kerajaan Negeri supaya bertindak segera kepada Yang DiPertua MPSPk, Azmudin Din kerana tidak bertanggungjawab mengeluarkan notis tanpa pengetahuan exco, sekaligus membelakangkan kerajaan Negeri”.

Menurutnya lagi, Kerajaan Kedah patut memberi kebenaran kepada pengusaha burung laying-layang kerana selain membeli rumah-rumah kedai yang tidak terjual (laku), ia juga dapat menjana ekonomi rakyat dan kerajaan melalui hasil penjualan sarang burung layang-layang itu”.
David Lim menambah, "Kerajaan Kedah hendaklah meniru langkah kerajaan Perak khasnya di Manjung yang meluluskan permohonan mereka melaksanakan pemeliharaan berkenaan’.

Sementara itu, Dr Hamdan ketika mengulas kejadian ini meminta pengusaha tersebut membawa modul dari Manjung, Perak untuk diketengahkan kepada Kerajaan Negeri, sekaligus dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit. Dr Hamdan berjanji akan mengadakan perbincangan dengan MPSPk pada masa terdekat, supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menimbulkan keresahan pada peniaga tersebut

Thursday, May 1, 2008

Menteri Besar Kedah, Suruh Karpal Tutup Mulut

Sikap Karpal Singh yang prejudis terhadap cita-cita PAS meneruskan agenda menegakkan Negara Islam telah menimbulkan polimek antara parti PAS dan DAP. Bagi Karpal, Negara Islam bermakna undang-undang hudud akan dikenakan terhadap bukan Islam.

Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah secara terbuka menggesa Karpal jangan bercakap lagi mengenai hal Negara Islam, jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud yang menjadi sebahagian intipati yang terkandung dalam perlaksanaan kerajaan di bawah pemerintahan Islam.

Bagi penulis, walaupun komen Ustaz Azizan adalah pendek tetapi padat dan tepat. Ia telah berjaya menghentikan kenyataan kedua belah pihak (PAS+DAP) berhubung isu itu yang boleh mengelirukan ahli kedua-dua parti dan rakyat jelata. Waktu yang sama, isu-isu lain yang lebih besar tidak diperhatikan.

Isu Negara Islam yang menjadi cita-citanya tidak perlu dipersoalkan lagi oleh sesiapa, walaupun dari gabungan Pakatan Rakyat. Ini kerana, PAS ditubuhkan sejak tahun 1951 lagi telah mempromosikan cita-citanya seperti juga DAP yang menguar-uarkan konsep negara 'Malaysian Malaysia' yang memang tidak disenangi oleh orang-orang Melayu.

Ideologi perjuangan parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat hendaklah dihormati oleh semua pihak, tidak perlu dipolimekkan. Sekarang adalah masa, gabungan parti dalam Pakatan Rakyat menunaikan janji-janji yang di buat dalam PRU 12 lalu.

Tumpuan yang harus diberikan oleh pemimpin kedua-dua parti, bagaimana untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat melalui PRU 12 lalu, apabila negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor diterajui oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PAS+PKR+DAP). Adalah malang, bila sudah diberikan mandat oleh rakyat masih ada segelitir pemimpin yang bercakaran satu sama lain. Rakyat yang memberi kuasa kepada mereka, masih terabai dan belum keluar dari belenggu kehidupan yang perit semasa berada di bawah rejim UMNO/BN selama 50 tahun.

DAP harus membuka minda mereka melihat cita-cita PAS untuk menjalankan pentadbiran Islam di negara dari perspektif yang lebih terbuka. Adalah perlu pemimpin politik dari parti seperti DAP dan juga Karpal, mendapat sokongan dari pengundi Islam mencari kaedah terbaik mendapatkan penjelasan secara ilmiah dari PAS berhubung dengan Negara Islam tersebut.

Sesungguhnya, Islam adalah ajaran dan cara hidup untuk seluruh manusia.

Kedegilan, sikap prejudis dan cara berfikiran ortodok yang dianuti oleh Karpal sudah ketinggalan serta mengundang polimek yang akan merugikan semua pihak (Pakatan Rakyat).

Penulis mencadangkan supaya YAB Menteri Besar Kedah menganjurkan satu wacana 'Negara Islam', melibatkan pemimpin politik Pakatan Rakyat dan pemimpin - pemimpin masyarakat dan NGO pada masa akan datang.

Dasar, prinsip dan nilai-nilai dalam sebuah Negara Islam yang masih kabur dapat diperjelaskan, sekaligus menyakin kepada mereka bahawa Islam adalah penyelesaian terbaik untuk mengurus dan mengatur kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

KRONOLOGI PERANG MULUT PEMIMPIN PAS DAN DAP

1 April: Tiga pemimpin utama pembangkang mengumumkan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat. Pengumuman itu disertai penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

2 April: Timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub dilaporkan berkata "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara Islam."


3 April: Kenyataan ini disokong Pemuda PAS Kelantan.


4 April: Merujuk kenyataan Ahmad dan setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir, Kit Siang berkata PAS belum mengambil iktibar krisis dalam Barisan Alternatif sehingga mendorong DAP meninggalkan pakatan tersebut pada 2001.

5 April: Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Abdul Hadi bertanggungjawab atas kenyataan Ahmad.


Karpal dilaporkan berkata: "Bagaimana mungkin PAS menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika kerusi parlimen yang dimenangi mereka adalah yang paling sedikit jumlahnya berbanding DAP dan PKR."

6 April: Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa Karpal memperkecil-kecilkan usaha PAS mempromosikan pentadbiran Islam di negeri itu.

Kenyataan Ahmad, setakat ini, menerima dukungan Pemuda PAS, sekurang-kurangnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

7 April: Karpal menafikan tuduhan Nik Abdul Aziz. Karpal berkata: "Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam.


"Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud."Ahmad - yang dilaporkan memulakan kenyataan kontroversi itu minggu lalu - berkata beliau tidak bermaksud memaksa DAP dan PKR menerima PAS sebagai teras utama Pakatan dan menyalahkan media atas kekeliruan yang berlarutan.

Datuk Husam Musa, naib presiden PAS dan exco Kelantan, memberi jaminan negara Islam hanya menjadi idealisme parti itu dan tidak terdapat dalam agenda Pakatan Rakyat.

8 April: Pemuda PAS Kedah meminta Karpal tidak membesar-besarkan isu tersebut, sementara menteri besarnya Azizan Abdul Razak menggesa pengerusi DAP tidak bercakap sesuatu isu yang tidak difahaminya, termasuk isu hudud.
Akhir, semoga kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS + PKR (Kedah), PKR + DAP (Pulau Pinang) dan PAS + DAP + PKR (Perak dan Selangor) akan dapat menjalankan tugas mereka dengan amanah, adil, sejahtera dan selamat, sekaligus membawa pembaharuan yang lebih bermakna kepada seluruh rakyat yang telah menderita sepanjang tempoh 5o tahun UMNO/BN berkuasa. Kuasa kerajaan Pakatan Rakyat adalah datang dari rakyat, maka utamakan hasrat dan harapan rakyat.

Wednesday, April 30, 2008

Berita Panas - PAS Perlis Bergolak

Penulis mendapat maklumat bahawa PAS Perlis sedang mengalami krisis kepimpinan ekoran kekalahan teruk dalam PRU 12 lalu. Desakan oleh kepimpinan PAS Dun Beseri supaya Ustaz Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Perlis melepaskan jawatannya telah membuka mata banyak pihak, khususnya ahli dan penyokong PAS di Perlis.
Berita selanjutnya akan diulas oleh penulis tropongcerah.

Bayaran Letak Kereta Pekan Jitra Akan Dibatalkan

Majlis Daerah Kubang Pasu akan mula mengenakan bayaran letak kereta berkupon kepada pengguna di Pekan Jitra berkuatkusa pada 1 Jun depan.

Gambar yang diemailkan kepada penulis mendapati bahawa terdapat sekurang-kurangnya 5 helai kain rentang tentang pemakluman undang-undang pembayaran letak kereta tersebut yang di pasang sekitar Pekan Jitra dan PJ 2 sejak 3 minggu lalu.

Penulis dimaklumkan bahawa, isu bayaran letak kereta tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang rakyat dikalangan peniaga dan pengguna yang sering menggunakan kawasan letak kereta berkenaan untuk urusan seharian mereka. Namun, sehingga hari ini, walaupun tiada bantahan secara rasmi dari pengguna ia telah menjejaskan nama baik kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan PKR.


Bagi memastikan kesahihan berita tersebut, penulis mendapatkan komen dari salah seorang ahli Majlis Daerah Kubang Pasu oleh kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah Darul Aman.

Menurut, Abdul Aziz Hatt, 34, bahawa, ‘keputusan untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan bayaran letak kereta berkupon yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu adalah diluar pengetahuan kami dan bukan juga arahan dari kerajaan Kedah yang dipimpin oleh YAB Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak’.

Katanya lagi, ‘perlantikan secara rasmi Ahli Majlis (Angkat Sumpah) akan diadakan pada 12 Mei depan dan sebarang penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan Kerajan Tempatan Daerah Kubang Pasu adalah terletak di bawah tanggungjwab Yang DiPertua Majlis Kubang Pasu dan Setiausaha Majlis”.

“Adalah tidak betul jika rakyat ataupun mana-mana pihak menuding jari bahawa cadangan untuk mengenakan bayaran letak kereta di Pekan Jitra dan sekitarnya adalah keputusan yang di buat oleh kami ataupun arahan dari kerajaan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Abdul Aziz berjanji akan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Daerah yang akan diadakan selewat-lewat pertengahan bulan Mei akan datang, sekaligus akan mengemukakan usul membatalkan hasrat Majlis Daerah Kubang Pasu untuk menggenakan bayaran letak kereta di pekan Jitra tersebut.

‘InsyaAllah, pihak kami akan dapatkan penjelasan dari Yang DiPertua, Majlis Daerah Kubang Pasu, juga Pegawai Daerah Kubang Pasu tentang beberapa isu sejak kebelakangan ini yang amat disenangi oleh rakyat’ ujarnya.

Beliau menambah, ‘rakyat jangan panik dan cepat menelan berita-berita yang merupakan dakyah oleh pihak tertentu yang mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah lebih zalim dari UMNO/BN dan tidak mementingkan kepentingan rakyat’.

Tegasnya lagi, ‘Kerajaan Pakatan Rakyat tetap berpegang teguh kepada janjinya untuk membela kepentingan rakyat semua golongan, bangsa dan agama di negeri ini’.
'Rakyat wajar optimis bahawa, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah akan melaksanakan segala janji-janji dalam manifesto PRU 12 untuk membela kepentingan rakyat, sekaligus menjadi pemerintah yang adil, bertanggungjawab dan mesra rakyat', katanya menutup perbualan melalui talipon dengan penulis.