Thursday, April 24, 2008

Jawatan Senator Telah Meruntuhkan Bukit Uhud

Assalam mualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian. Kali ini saya memilih tajuk ‘Adakah Bukit Uhud Telah Runtuh’ sebagai tatapan yang dihimpun dari sumber-sumber yang diyakini betul dan bertanggungjawab. Sebarang komen, pandangan dan kritikan dialu-alukan untuk kebaikan semua pihak.

Sumber diperolehi oleh penulis tentang Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kedah pada Sabtu (19 April) telah bersetuju melantik Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah iaitu saudara Mohd yusof Husin sebagai senator mewakili kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah. Selepas ini Mohd Yusof akan bergelar Yang Berhormat. Sudah pasti perlantikan ini merupakan berita gembira kepada keluarga, sahabat handai, penduduk Kg. Memali dan rakyat Baling, khususnya.

Menurut dari orang yang rapat dengan pemimpin PAS Kedah, YAB Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak, Pesuruhjaya PAS merangkap Menteri Besar Kedah membuat pengumuman Mohd Yusof dilantik sebagai Senator mewakili kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah. Namun, satu lagi kerusi Senator belum diumumkan kerana masih dalam pertimbangan pihak kerajaan negeri dan Badan Perhubungan PAS Kedah.

Mohd Yusof adalah aktivis PAS Kedah, merupakan orang kanan As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dalam Peristiwa Memali (1988) yang telah mencatatkan sejarah hitam politik Malaysia tentang siri-siri kezaliman di zaman pemerintahan UMNO/BN yang berketuakan Mahathir Mohammed.

Peristiwa Memali telah mendorong kepada penahanan Mohd Yusof lebih 2 tahun di Pusat Tahanan Kemunting di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA). Sejak penglibatannya dengan PAS, banyak jawatan penting yang telah diamanahkan kepadanya oleh parti iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Kedah dan juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah (sehingga sekarang) setelah perletakan jawatan sdr. Aris Awang (Kuala Kedah) sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah.

Apa yang menarik ialah perlantikan Mohd Yusof sebagai Senator telah menimbulkan banyak persoalan, di samping mengejutkan banyak pihak dari PAS. Ini kerana sebelumnya terdapat nama-nama lain yang telah diwar-warkan sebagai Senator yang mewakili kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Antara nama yang disebut-sebut ialah Ustaz Hassan Abdul Razak (Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah), merupakan orang kuat PAS di bahagian selatan Kedah yang telah berkerja kuat dalam PRU 12 lalu yang banyak berkorban dari segi tenaga, masa dan puluhan ribu wang ringgit kepada PAS Kedah.

Ada sumber yang memberitahu, Ustaz Hassan telah memberi sumbangan kewangan sebanyak RM 40 ribu kepada tabung Pilihanraya PAS Kedah. Di samping, sanggup menolak cadangan sebagai calon bertanding di dalam PRU 12, semata-mata untuk menjadi jentera sepenuh masa membantu tugas-tugas Pesuruhjaya PAS (Ustaz Azizan) di bahagian selatan Kedah yang meliputi Kulim/Bandar Bharu dan Padang Serai yang telah menyapu bersih semua kerusi yang bertanding diwakili oleh PAS dan PKR. Sekaligus menyumbang kepada kemenangan yang memboleh kerajaan Pakatan Rakyat di bentuk di negeri Kedah. Itulah sumbangan besar Ustaz Hassan yang menjadi faktor kuat diperkatakan oleh ahli-ahli PAS dan pengundi tentang kelayakannya untuk menjadi seorang Senator.

Di samping itu, Ustaz Abu Kassim yang menjadi Pengerusi Tetap PAS Pusat iaitu bekas orang kuat PAS Kedah di era 80an dan 90an juga disebut sebagai calon yang layak menjadi Senator. Ini kerana, harapan penyokongnya untuk melihat Abu Kassim dilantik sebagai Speaker Kerajaan Pakatan Rakyat tidak berkesampaian kerana jawatan tersebut telah diserahkan kepada Dr. Mohd Isa Ismail, iaitu calon PAS yang kalah di Kubang Pasu dalam PRU 11 dan PRU 12.

Oleh itu, kumpulan Abu Kassim mendesak supaya kepimpinan PAS Kedah melantiknya sebagai Senator. Menurut penyokongnya dari Kubang Pasu bahawa, jawatan Senator wajar diberi kepada Abu Kassim kerana merujuk kepada sumbangan dan pengorbanannya kepada PAS, bukan sahaja di Kubang Pasu, bahkan di negeri Kedah sejak tahun 60an hinggalah sekarang.

Di samping dua tokoh tempatan, pemilik blog 'Merah Tinta MSO' pula mencadangkan supaya kerajaan di bawah PAS (Kedah dan Kelantan) melantik Hj. Subky Latif dan Hj. Mohammad Sabu sebagai Senator. Ia berdasrakan pengorbanan mereka dari segi masa, fikiran dan tenaga dalam perjuangan PAS yang terlalu besar. Seakligus ia sebagai tanda cenderahati PAS di atas pengorbanan mereka tersebut.

Namun, ada juga yang mengharapkan supaya kerajaan PAS dari dua buah negeri tersebut dapat melantik Senator dari kalangan tokoh-tokoh PAS di negeri Bumi Kenyalang (Sarawak) dan Negeri Di Bawah Bayu (Sabah) sebagai penghargaan kepada mereka yang turut sama memperjuangkan Islam di sana melalui wadah PAS. Sekurang-kurangnya, perlantikan Senator dari negeri Sabah dan Sarawak akan menyemarakkan daya juang dan semangat pendokong PAS di sana.

Bagi penulis, pandangan ini juga amat releven dengan situasi politik semasa, di mana parti PKR dan DAP mempunyai wakil mereka dari kedua-dua negeri tersebut. Sedangkan PAS yang sejak dulu meletakkan calon bertanding, tetapi tewas kerana kurang taring, ekoran dari budaya politik Sabah dan Sarawak yang bersifat perkauman. Adanya Senator dari negeri berkenaan dapat membuka jalan kepada PAS memberi khidmat yang lebih baik dan efisyen kepada rakyat serta mampu bertindak menyuarakan pandangan mereka yang mewakili rakyat di Dewan Negara.

Namun begitu isu perlantikan Senator menjadi ribut dalam cawan dikalangan pemimpin dan ahli-ahli PAS di Kedah, walaupun tidak seburuk yang berlaku kepada UMNO/BN ketika berkuasa . Masing-masing cuba memberi cadangan dan pandangan masing-masing. Ada pandangan yang disifatkan baik untuk PAS dan juga yang bersifat untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu. Sesungguhnya, kebijaksaan kepimpinan PAS membuat keputusan adalah dituntut, supaya perlantik Senator bukan sebagai

Hasil pengamatan penulis, sekurang-kurang ada tiga puak yang telah berkerja kuat melobi pimpinan PAS Kedah ke jawatan Senator tersebut. Puak Pertama, lobi yang dilakukan orang dalam sendiri iaitu penjawat penting dalam Badan Perhubungan PAS Kedah dan Jabatan Pilihranya PAS (JPN) Kedah yang mempunyai hubungan rapat, khususnya dengan Pesuruhjaya PAS dan Dewan Harian PAS Kedah. Di mana, puak ini telah melobi supaya jawatan Senator tersebut diberikan kepada salah seorang anggota Dewan Harian PAS Kedah yang tidak mempunyai apa-apa jawatan politik dalam kerajaan.

Daripada tinjauan mendapati hanya empat orang sahaja yang tidak menduduki apa-apa jawatan politik dalam kerajaan iaitu Ustaz Hassan Abd Razak (Timbalan Pesuruhjaya 3), Mohd Yusof Husin (Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah), Ustaz Zawawi Hj Ahmad (Ketua Ulamak PAS Kedah) dan Ustaz Mosodak Hj Ahmad (Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah) yang kalah bertanding di DUN Bayu dalam PRU 12 lalu. Lain-lain anggota Dewan Harian, semuanya telah bergelar YB di peringkat DUN / Parlimen dan di lantik menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco).

Puak kedua, ialah dari parti PKR yang mahu Ketua Badan Perhubungan PKR Kedah yang kalah bertanding dalam PRU 12 di tangan Mahadzir Khalid (DUN Pedu) dilantik sebagai Senator. Alasan mereka bahawa kerjasama PKR lah yang membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah dibentuk dengan mudah. Bagi PKR, kepimpinan PAS perlu bertolak ansur kepada PKR kerana mereka telah berjaya memainkan peranan penting dalam PRU 12 lalu, sekaligus boleh meredakan desakan ahli-ahli PKR Kedah yang merasakan mereka tidak banyak mendapat tempat di dalam perlantikan di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat di peringkat Daerah.

Puak ketiga, Jemaah Islamiyah Malaysia (JIM) yang kini sedang memasang angan-angan mereka untuk menguasai dan mempengaruhi pentadbiran kerajaan Kedah melalui wakil-wakil mereka yang menyertai PAS samada sebagai saf kepimpinan di peringkat kawasan, maupun negeri.

Penulis mendapat maklumat dari orangdalam Wisma Negeri bahawa puak ini melobi kuat mahukan calon mereka yang kalah iaitu Dr. Rohani Abdul Mutalib (DUN Jitra), Ketua Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu, juga merupakan Ketua Penerangan, Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah menjadi Senator di atas alasan mengisi kouta wanita untuk memperjuangkan hak-hak berkaitan wanita di Dewan Negara kelak. Namun, maklumat dari Kubang Pasu, Dr. Rohani Abdul Mutalib sendiripun tidak tahu menahu tentang ‘lobi’ mereka ini yang dikatakan boleh menyebabkan timbulnya fitnah ke atas dirinya dalam kepimpinan Dewan Muslimat PAS di peringkat kawasan dan juga Negeri.

Lebih merumitkan keadaan, kumpulan JIM ini telah mendakwa bahawa mereka telah menjalankan kerja kuat membantu calon di DUN Anak Bukit (Amiruddin Hamzah), DUN Jitra (Dr. Rohani Abdul Mutalib) dan Parlimen Kubang Pasu (Dr. Mohd Isa Ismail). iaitu sejak PRU 11 (2004) yang lalu. Pada PRU 12 lalu, sumber jentera PAS Kubang Pasu memaklumkan kepada penulis bahawa, Dr. Mohd Isa Ismail (Calon Parlimen 2004) telah menerima sumbangan sebanyak RM 30 ribu berupa wang saku kegunaan peribadi. Apa yang pelik, wang itu hanya diperuntukkan kepadanya seorang, walupun yang bertanding 2004 di peringkat DUN Bukit Hitam (Cikyu Nayan Saad) dan DUN Jitra (Dr. Rohani Abdul Mutalib), wang itu tidak diberi melalui jentera PAS Kubang Pasu yang tidak mempunyai wang tabungan Pilihanraya yang mencukupi.

Namun, pengamatan beberapa pihak tentang perlantikan jawatan politik oleh kerajaan Kedah ataupun PAS Kedah telah memperlihatkan beberapa orang kanan dari PAS Kedah telah mendapat habuan mereka masing-masing. Perlantikan ini di buat atas alasan kelayakan yang di ukur dari taraf pendidikan, komitmen dan kerja kuat mereka dalam PRU 12 lalu, di samping tidak boleh dinafikan mempunyai hubungan ‘special’ dengan pemimpin PAS Kedah tertentu. Antara jawatan politik yang menjadi rebutan dan dianugerah kepada mereka ialah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Daerah di bawah potfolio YB Mohd Taulan Rasul dan Ahli Lembaga Pengarah Anak Syarikat Kerajaan Negeri Kedah (GLC) yang dipengerusikan oleh YB. Amiruddin Hamzah selaku Exco yang berkenaan.

Walaupun pengumuman perlantikan orang-orang kanan PAS di peringkat Negeri dan kawasan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Daerah di tempat masing-masing telah di buat pada hari Khamis (17 April) oleh kerajaan Kedah, namun sehingga ke tarikh laporan ini di tulis mereka yang berkenaan masih belum ‘mendapat kuasa’ untuk menjalankan tugas, ekoran kelewatan majlis angkat sumpah.

Penulis keliru, siapakah yang berhak untuk melakukan upacara angkat sumpah jawatan Ahli Majlis tersebut. Adakah Yang DiPertua Majlis Daerah yang juga Pegawai Daerah ataupun Kerajaan Negeri Kedah sendiri.

Apapun kelewatan mengaktifkan Ahli Majlis telah menyebabkan calon-calon yang telah disahlantik oleh kerajaan negeri, sudah mula merasa mual dan bosan kerana berlaku kelewatan perlantikan tersebut yang tidak ditangani dengan sewajarnya oleh exco yang telah dipertanggung-jawabkan menjalankan tugas tersebut. Sehinggakan berlaku banyak hal-hal yang berunsur sabotaj telah terjadi yang boleh merugikan imej dan political millage PAS sebagai sebuah Kerajaan Berkebajikan.

Peliknya, walaupun kerajaan Kedah merupakan kerajaan 'pertama’' dapat dibentuk selepas PRU 12 dengan sokongan dari Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Kedah berbanding dengan kerajaan-kerajaan negeri lain yang berada di bawah Pakatan Rakyat, namun dari segi perlaksanaannya kerja-keraj penting yang melibatkan rakyat amat lewat dan lembab. Perkara ini sedang diperhatikan dan hangat dibincangkan oleh rakyat di peringkat bawahan, sehingga ada yang berpendapat kepimpinan kerajaan Kedah dan PAS Kedah tidak tahu menggunakan kuasa yang dimiliki oleh mereka sehingga banyak tindakan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Pegawai Daerah) yang dipercayai melakukan pelbagai sabotaj untuk memburukkan kerajaan PAS yang melaungkan slogan 'Kedah Sejahtera, Rakyat Selamat' dan 'Kerajaan Berkebajikan'.

Lebih membinggungkan penulis ialah mengapa tidak di undang rakan-rakan dari Kelantan dan Terengganu yang berpengalaman memerintah untuk memberi pandangan dan tunjuk ajar dalam hal-hal begini. Kerajaan Kedah dan PAS harus sedar bahawa majoriti penjawat awam di Majlis Daerah, Bandaran dan Bandaraya di Kedah adalah terdiri daripada juak-juak UMNO/BN. Apakah dengan kelunakan MB Kedah yang mengisyitiharkan bahawa dalam polisi pengambilan penjawat awam tidak di ambil kira soal latarbelakang seseorang, asalkan mereka menjalankan tugas secara beretika dan professional.

Penulis nak bertanya, sejak bila pimpinan PAS boleh mengakui bahawa UMNO/BN menjalankan tugas secara beretika dan professional. Jika mereka beretika dan profesioanl tidaklah berlaku hal-hal berkaitan kronisme, nepotisme dan korupsi dalam pentadbiran mereka. Oleh itu, lupakan saja hasrat untuk melihat mereka itu beretika dan profesioanl sekiran MB Kedah tiadk mampu untuk mentarbiyyah mereka seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (MB Kelantan) yang mempunyai formula dan metod dakwah yang konsisten, khususnya berkaitan pengursan kalbu.

Di sini, dicatakan sedikit contoh isu-isu yang telah membusukkan nama baik PAS dan kerajaannya, apabila Pihak Berkuasa Tempatan dalam daerah Kota Setar telah mengambil tindakan secara melampau mendenda, menghalang dan mengangkut gerai-gerai penaiaga, khususnya dari kalanagn bumiputera yang berniaga di sekitar bandaraya Alor Setar dengan alasan melanggar undang-undang. Sepatutnya tindakan yang boleh mencemarkan imej PAS dan kerajaan tidak berlaku dan perlu ditangani dengan segera oleh Exco yang berkenaan. Jangan sampai peniaga merasakan mereka dizalimi dengan memasukkan pasir ke dalam periuk nasi mereka baru kita nak bertindak.

Dalam daerah Kubang Pasu pula, berkuatkuasa pada 1 Mei 2008 akan datang, yuran penjaja pasar malam dinaikkan dari RM1.00 di zaman pemerintahan UMNO/BN kepada RM3.00 di zaman pemerintah kerajaan yang melaung-laungakan slogan 'Kedah Sejahtera, Rakyat Selamat' dan 'Kerajaan Berkebajikan'. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila, pengguna letak kereta di sekitar bandar Jitra dan Bandar Darulaman bermula akan dikenakan bayaran letak kereta berkupon yang akan berkuatkuasa pada 1 Jun akan datang. Di samping, gerai sementara peniaga di bahu-bahu jalan di kawasan ini telah diangkut ke pusat simpanan Majlis Daerah sebagai tindakan kononnya mereka berniaga tanpa mendapt lesen. Dimaklumkan, ramai orang kuat PAS dalam kawasan menjadi sasaran sindiran, kutukan malah sampai ke peringkat di maki hamun oleh pihak yang telah dikenakan tindakan tersebut kerana sebelum ini mereka telah dikempen supaya mengundi PAS untuk membuat perubahan dalam kehidupan.

Penulis nak bertanya kepada Exco berkenaan, apa dah jadi ? Adakah YB Mohd Taulan terlalu sibuk melayan rakyat di DUN Tokai dan Sala sahaja ataupun masih teraba-raba untuk melihat ruang kuasa bertindak membela rakyat Kedah. Bagi penulis, isu yang berbangkit boleh tuntas dengan segera, jika perlantikan Ahli Majlis diaktifkan secepatnya dan arahkan mereka semua memantau serta menyemak semula keputusan yang membebankan rakyat Kedah. Harap-harap dengan teguran ini, YB Mhd Taulan janganlah pula nak letak jawatan Exco.

Berbalik semula kepada persoalan perlantikan jawatan-jawatan politik oleh PAS Kedah selepas berjaya menguasai tampuk pemerintahan kerajaan negeri, telah membentuk 'budaya baru' dalam PAS.

Budaya baru yang dimaksudkan adalah merujuk kepada satu pandangan yang dilontarkan oleh seorang veteran PAS Sungai Petani ketika bersembang dengan penulis berhubung dengan jawatan-jawatan politik yang dilantik oleh PAS Kedah, menyebabkan sudah menular budaya ‘main politik kotor’ di kalangan orang-orang yang berpengaruh untuk menaik dan menjatuhkan seseorang terutama dalam merebut jawatan-jawatan politik yang penting dalam kerajaan negeri.

Jangan marah kalau penulis mengatakan bahawa, sudah ada pertikaian atau ‘perang dingin’ antara Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar dan Pegawai Khas Menteri Besar. Pertikaian ini bukan kerana soal prinsip ataupun berkisar untuk memberi khidmat terbaik dalam pentadbiran atau kepada rakyat. Khabarnya ia berlaku berkisar soal siapa yang layak dan juga imbuhan bulanan yang bakal diperolehi.

Kalau tidak silap penulis bagi jawatan Setiausaha Politik, penjawat berkenaan berhak mendapat pencen bila habis tempoh berkhidmat. Sebaliknya jawatan Setiausaha Akhbar dan Pegawai Khas tidak ada pencen. Uhhhhss….pencen menjadi sandaran pada mereka sekarang. Bagaimana dengan petugas PAS di peringkat cawangan, kawasan, UPU, MTD dan lain-lain lagi jawatan di perimgkat parti yang langsung tidak mendapat sebarang imbuhan samada dalam bentuk gaji bulanan, apatah lagi pencen.

Inilah budaya baru bagi sesetengah pemimpin PAS bila dah berkuasa. Gaji dan pencen menjadi matlamat mereka, bukan lagi pengorbanan ikhlas yang mengharapkan pahala dari Allah SWT.

Ironisnya, mengapakah perkara mengejar jawatan ini boleh terjadi ? Apakah signifikannya jawatan yang bakal diperolehi oleh orang-orang tertentu yang pandai melobi kepada ahli-ahli PAS dan rakyat Kedah yang majoritinya masih miskin dan susah.

Adakah kerana jawatan yang bakal disandang untuk memberi sumbangan khidmat kepada rakyat Kedah dan juga untuk turut sama menyumbang ke arah ‘Kedah Sejahtera, Rakyat Selamat’ ‘Kerajaan Berkebajikan’ atau kerana sesetengan pemimpin PAS sudah terliur berlenja dengan habuan dunia dalam bentuk gaji bulanan dan pencen.

Penulis mewakili rakyat terbanyak menaruh harapan menggunung kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang berjanji ketika berkempen tidak akan mengulangi kejelekan UMNO/BN yang memerintah selama 50 tahun lebih. Rakyat dapat melihat tanah Melayu habis terjual, ekonomi raykat luar Bandar ibarat ‘kais pagi makan apgi, kais petang makan petang’ kehidupan yang terancam kerana kadar jenayah yang meningkat saban minggu, bulan dan tahun serta macam-macam lagi.

Kata veteran PAS Sungai Petani, ‘Sebelum PAS memerintah susah untuk orang-rang tertentu menerima jawatan yang mahu dilantik oleh parti, tetapi sekarang mereka juga yang berebut-rebut jawatan, kerana ia menjanjikan habuan dalam bentuk gaji bulanan, maupun elauan mesyuarat’.

‘Pak Sheikh..inilah masanya kita nak kaut, kalau tidak bila lagi….antara ungkapan seorang yang pemimpin PAS di peringkat kawasan.

Penulis ingin mengajak pembaca merenung sejenak iaitu jika jawatan politik yang dikejar dalam kerajaan bukan lagi bersandarkan kepada tujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat dan parti, sebaliknya kerana mengejar glamour, imbuhan seperti gaji bulanan, elaun serta wang pencen selepas bersara, maka PAS Kedah telah mengorak langkah mendahului UMNO/BN menuju kepada penolakan undi rakyat dalam PRU 13 akan datang. Jika budaya perebutan jawatan sudah melekat di benak hati dan pemikiran orang-orang penting PAS yang bermatlamatkan kepada wang (duaniwi), maka ia tidak ada bezanya dengan pemimpin UMNO/BN yang telah di tolak oleh rakyat dalam PRU 12 lalu.

Kenyataan Mohd Yusof dalam laporan Harakah, lidah rasmi PAS pada keluaran minggu pertama April 2008 tentang hasratnya bersama petugas parti untuk terus kekal berkhidmat kepada PAS sebagai petugas parti di Badan Perhubungan PAS Kedah tanpa mengharapkan jawatan dalam kerajaan amat mengharukan dan menginsafkan penulis betapa ikhlasnya beliau.

Menariknya, penegasannya untuk menjaga Badan Perhubungan PAS Kedah bersama-sama teman lain umpama menjaga ‘Bukit Uhud’, tanpa terpengaruh dengan habuan duniawi oleh mereka yang cintakan dunia. Kini setelah pengumuman Pesuruhjaya Kedah tentang perlantikan Mohd Yusof sebagai Senator telah mengundang pelbagai andaian yang sukar untuk dirungkaikan.

Bagi penulis, keyakinan kepada ayat Allah yang bermaksud, “Masih belum beriman seseorang itu selagi belum diuji” akan dipegang erat hingga ke akhir hayat.

Apapun, penulis mengharapkan dan terus berdoa kepada Mohd Yusof bahawa perlantikannya sebagai Senator bukannya di buat atas desakan mana-mana dari tiga kumpulan yang dicatatkan dalam ruangan ini, juga bukan kerana mengejarkan habuan bulanan yang mencecah ribuan ringgit serta wang pencen selepas habis tempoh perkhidmatannya nanti. Sebaliknya keputusan perlantikan tersebut adalah keputusan kolektif kepimpinan PAS yang mengambilkira contoh dan tauladan yang pernah di buat oleh Almarhum Ustaz Hj Fadzil Mohd Noor, pemimpin yang kita sayangi.

Penulis merasakan untuk melahirkan pejuang tulen, berkarismatik dan bercakap serupa bikin seperi Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor di dalam PAS yang melaungkan perjuangan Islam amatlah susah, kecuali nawaitu yang tersemat di sanubari yang suci murni dan dibuktikan dengan tindakan zahir yang dapat diliahat oleh manusia di sekeliling dan Allah Yang Maha Mengetahui tentang hambaNya.

Oleh itu, harapan rakyat mahu melihat PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat tidak seperti UMNO/BN akan menjadi kenyataan dan PAS Kedah tidak dihukum berat oleh pengundi seperti terjadi kepada PAS Trengganu yang dilihat amat kuat dan bertenaga tetapi tidak berjaya membentuk kerajaan di dalam PRU 11 dan PRU 12 lalu, apatah lagi untuk mengikut pencapaian PAS Kelantan mengekalkan kuasa pemerintahan sejak 1990 sehingga sekarang.

Akhirnya penulis mohon ampun dan maaf jadi terdapat rangkap-rangkap penulisan yang menyentuh hati mana-mana pihak. Apapun penulisan melalui blog Tropongcerah adalah bersifat penegur untuk kita yang mendukong perjuangan Islam melalui wadah PAS tidak terbabas serta ‘Gugur Di Sepanjang Jalan’.

Terima Kasih.

No comments: