Sunday, April 27, 2008

Desas-Desus

Peluang Terbuka Ustaz Azizan Intai Kerusi Timbalan Presiden PAS

Semasa pemilihan jawatan tertinggi PAS beberapa tahun lalu, wakil Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Firdaus Jaafar (kini MP Jerai) telah menyatakan pendirian terbuka mereka dan melobi para perwakilan ke Muktamar PAS Pusat ketika itu mencalon dan memilih Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak sebagai Timbalan Presiden PAS.

Katanya, “para perwakilan ke Muktamar perlu memilih calon-calon kepimpinan tertinggi PAS daripada kalangan mereka yang banyak bercakap tentang negara Islam (merujuk kepada Ustaz Azizan)kerana itulah perjuangan sejati PAS”.

Hujah mereka lagi, Ustaz Azizan merupakan pemimpin PAS yang telah diasuh secara langsung oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor sejak dari zaman pengajian di universiti lagi dan bertanggungjawab membawa masuk Ustaz Azizan ke dalam PAS setelah beliau bersara daripada mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sehingga memberi ruang kepada Ustaz Azizan berada dalam saf kepimpinan PAS Pusat dan PAS Negeri Kedah.

Ustaz Azizan juga diyakini dapat bekerjasama dan membantu Presiden PAS iaitu Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang bagi menghadapi cabaran politik semasa, di samping memberi suntikan tenaga kepada PAS Kedah untuk membawa cabaran menghadapi Pilahanraya Umum 12.

Menurut Dewan Pemuda PAS Kedah bahawa, Ustaz Azizan memiliki peribadi mulia, sekaligus memenuhi ciri-ciri sebagai kepimpinan Islam yang diperlukan oleh PAS. Ia juga merupakan tokoh yang akan menyambung kepimpinan ulamak yang menjadi teras kepada perjuangan PAS.

Walaupunpun begitu, kritikan keras para perwakilan dan orang-orang tertentu terhadap Ustaz Azizan ketika menjawat Naib Presiden PAS, yang dikatakan ‘tak mesra muslimat’ dan tidak berkemampuan menggariskan hala tuju perjuangan PAS, di samping dianggap berfikiran konservatif.
Oleh itu, hasrat Dewan Pemuda PAS Kedah meraih sokongan pencalonan dari kawasan-kawasan tidak memberangsangkan termasuklah oleh PAS kawasan dalam Negeri Kedah sendiri seperti Kuala Kedah, Pokok Sena dan Kulim/Bandar Bharu. Ketiga-tiga kawasan berkenaan adalah diketuai oleh YB Mahfuz Omar (YDP Pokok Sena), YB Ir. Pharolrazi Zawawi (YDP Kuala Kedah) dan Ustaz Hassan Abdul Razak (Kulim/Bandar Baru), ketiga-tiga mereka juga adalah Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
Kesan kritikan dan tidak mendapat pencalonan dari ketiga-tiga kawasan tersebut membuka ruang kepada pihak luar mengatur serangan kepada PAS, kononya berlaku angin perubahan di dalam PAS, terdiri golongan muda dan profesional menolak kepimpinan ulamak berfikiran konservatif seperti Ustaz Azizan. Sebaliknya mereka terus mengekal Ustaz Nasaruddin Mat Isa, tokoh muda yang juga di asuh secara langsung oleh Al-Marhum Ustaz Hj. Fadzil Mohd Noor semasa hayatnya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden.
Setelah ketiadaan sokongan yang memberangsangkan tersebut, maka percubaan Dewan Pemuda PAS Kedah menempatkan Ustaz Azizan di kerusi Timbalan Presiden tidak berkesampaian dan diganti dengan tokoh ulamak konservatif PAS lain iaitu Ustaz Dr, Haron Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bertanding kerusi berkenaan. Keputusannya, para perwakilan mengekalkan Ustaz Nasaruddin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden PAS buat penggal ke-2, sekaligus akan meneruskan amanah dan berganding bahu dengan Dato Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang membawa cabaran PAS di dalam persada politik Malaysia.

Namun, kejayaan PAS Kedah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat melalui PRU 12 lalu, boleh dan telah mengubah persepsi ahli PAS dan rakyat tentang Ustaz Azizan, kini sebagai Menteri Besar Kedah dan Pesuruhjaya PAS Kedah. Namanya melonjak naik dikalangan pemimpin PAS seluruh kawasan di negeri Kedah, termasuk di beberapa negeri seperti Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang.
Penulis difahamkan bahawa, sudah ada gerakan di peringkat kawasan-kawasan di negeri Kedah untuk memulakan kempen mencalonkan Ustaz Azizan sebagai Timbalan Presiden, walaupun pemilihan jawatan tertinggi parti akan diadakan tahun depan. Kelebihan yang dimiliki oleh Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar Kedah membolehnya menampilkan kemampuan menjadi pemimpin kepada parti dan rakyat, serta membawa cabaran memimpin kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri pelbagai golongan, agama, bangsa dan budaya.
Kini, Ustaz Azizan semakin dikenali bukan oleh ahli PAS dan rakyat di Kedah, bahkan dikalangan luar Kedah.

Maklumat dari orang yang dekat dengan Badan Perhubungan PAS Kedah bahawa sudah kedengaran sembang-sembang untuk mengatur jawatan Timbalan Presiden PAS kepada Ustaz Azizan. Gerakan awal mendapatkan respon dari ahli diperingkat akar umbi telah dimulakan secara 'tertutup'.
Penulis menjangkakan pencalonan untuk Ustaz Azizan ke jawatan Timbalan Presiden oleh kawasan-kawasan seluruh Kedah adalah lebih baik, berbanding dengan tahun sebelumnya. Ada beberapa faktor yang akan mempengaruhi ke arah pencalonan Ustaz Azizan sebagai Timbalan Presiden PAS mengganti YB. Ustaz Nasaruddin Mat Isa. Faktor-faktor tersebut akan diulas oleh penulis pada masa akan datang.

Cukuplah sekadar penulis mengatakan bahawa, telahan Dewan Pemuda PAS yang mengatakan Ustaz Azizan adalah pemimpin yang konsisten bercakap tentang Negara Islam, apabila beliau semakin vokal mempertahan dasar dan prinsip perjuangan PAS yang berhubungkait dengan Negara Islam.
Isu terbarunya ialah keberanian Ustaz Azizan memberi kritikan keras kepada Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh tentang komennya supaya PAS melupakan hasrat untuk menubuhkan Negara Islam di Malaysia yang diwakili oleh masyarakat majmuk.

Di atas kapisiti sebagai ketua kerajaan yang di pilih oleh rakyat, Ustaz Azizan bingkas membidas pandangan Karpal Singh yang dianggapnya ‘orang yang tak tahu tentang Negara Islam’ supaya menutup mulut. Perang mulut antara Ustaz Azizan dan Karpal telah mendapat liputan meluas media, sehingga terpaksa dicampur tangan oleh YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am supaya pemimpin dalam Pakatan Rakyat membincangkan menumpukan perbincangan lain yang lebih penting.

Ketokohan Ustaz Azizan semakin menyerlah apabila kemampuannya dalam tempoh dua bulan membuat dasar-dasar baru kerajaan Pakatan Rakyat yang memihak dengan hasrat dan citarasa rakyat. Kini, kaum India, Cina dan Siam sudah ramai menyokong PAS melalui penyertaan mereka ke dalam Kelab Penyokong PAS.

Di arus sokongan rakyat dan ahli-ahli PAS Kedah ke atas kepimpinan Ustaz Azizan telah membuka jalan kepadanya untuk mengintai kerusi Timbalan Presiden PAS, walaupun belum ada kenyataan terbuka daripadanya.

Akhirnya penulis ingin mengungkapkan pepatah bahawa, ‘Kalau tidak ada angin, pokok tidak akan bergoyang’.

No comments: