Sunday, April 27, 2008

BERITA GEMPAR

BETULKAH, DUA ADUN PKR AKAN MENINGGAL KERAJAAN PAKATAN RAKYAT KEDAH

Penulis telah dimaklumkan oleh orang dalam PKR bahawa sekurang-kurangnya 2 Adun dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengisyitiharkan keluar parti dan meninggalkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui oleh PAS + PKR.

Berita tindakan dua Adun PKR ini semakin bertiup kencang di sebelah selatan Kedah dan penulis dimaklumkan bahawa PAS Kedah akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam ini untuk membincangkan isu berkaitan Adun PKR tersebut, sekaligus membuat persiapan menghadapi perkara-perkara di luar jangkaan.

Penulis tidak akan mengumumkan nama Adun tersebut sehinggalah ia benar-benar berlaku.
Sumber yang diperoleh oleh penulis, sebab musabab tindakan Adun tersebut adalah berpunca dari rasa tidak puas hati mereka berikutan dengan perlantikan jawatan politik yang sedang diagih-agihkan oleh pihak parti PAS dan PKR serta juga kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Jawatan Speaker DUN Kedah dan Senator adalah menjadi rebutan dikalangan pemimpin politik dari PKR dan PAS Kedah. Difahamkan berlaku tarik tali dan tawar menawar antara pemimpin keduabelah pihak sejak dari awal lagi yang berkesudahan dengan pengumuman jawatan Speaker dan Senator oleh YAB Menteri Besar, Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak.

Sebelum ini YAB Menteri Besar, telah mengumumkan jawatan Speaker DUN Kedah akan diberikan kepada Dr. Mohd Isa Ismail, (YDP Kubang Pasu), juga calon Parlimen Kubang Pasu yang kalah dalam PRU 11 dan PRU 12 lalu dan YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad (Adun Ayer Hitam) sebagai Timbalan Speaker. Di samping, satu kerusi untuk jawatan Senator telah diserahkan kepada Mohd Yusof Husin, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah yang mengelarkan dirinya sebagai penjaga ‘Bukit Uhud’.

Jika benar berlakunya tindakan keluar parti oleh dua Adun PKR ini, jelas ia memberi tamparan hebat kepada kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru dua bulan membentuk kerajaan negeri. Umum mengetahui bahawa, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah adalah yang paling cepat dan pertama di bentuk selepas PRU 12 lalu, berbanding dengan Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Apatah lagi kalau kita melihat kekalutan pembentukan kerajaan negeri di bawah UMNO/BN seperti berlaku di Perlis dan Terengganu yang amat memalukan rakyat Malaysia.

Komen seorang veteran PAS Kedah tentang isu ini ialah, ‘pemimpin PAS Kedah janganlah terlalu tamakkan kuasa politik, sehingga mengabaikan kawan-kawan dalam PKR yang bersama dalam Pakatan Rakyat’.

Beliau menambah, “Jika perlu jawatan Speaker dan Senator diberikan kepada mereka untuk memantapkan kerajaan Pakatan Rakyat dan hubungan parti, maka berilah kepada mereka’.

Akhirnya, penulis mengharapkan supaya Ustaz Azizan dapat mengambil langkah yang bijaksana dalam politik seperti yang ditunjukkan oleh Al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor yang memperkenalkan konsep ‘tahaluf siyasi’, ketika mengharungi cabaran memenangkan PAS di era 1990 dan 1999 lalu. Atas kebijaksaannya, pada 8 Mac 2008, pengundi dari keturunan Cina, India dan Melayu khususnya telah menumbangkan kerajaan UMNO/BN sehingga terbentuknya lima buah negeri Pakatan Rakyat.

No comments: