Thursday, May 1, 2008

Menteri Besar Kedah, Suruh Karpal Tutup Mulut

Sikap Karpal Singh yang prejudis terhadap cita-cita PAS meneruskan agenda menegakkan Negara Islam telah menimbulkan polimek antara parti PAS dan DAP. Bagi Karpal, Negara Islam bermakna undang-undang hudud akan dikenakan terhadap bukan Islam.

Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah secara terbuka menggesa Karpal jangan bercakap lagi mengenai hal Negara Islam, jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud yang menjadi sebahagian intipati yang terkandung dalam perlaksanaan kerajaan di bawah pemerintahan Islam.

Bagi penulis, walaupun komen Ustaz Azizan adalah pendek tetapi padat dan tepat. Ia telah berjaya menghentikan kenyataan kedua belah pihak (PAS+DAP) berhubung isu itu yang boleh mengelirukan ahli kedua-dua parti dan rakyat jelata. Waktu yang sama, isu-isu lain yang lebih besar tidak diperhatikan.

Isu Negara Islam yang menjadi cita-citanya tidak perlu dipersoalkan lagi oleh sesiapa, walaupun dari gabungan Pakatan Rakyat. Ini kerana, PAS ditubuhkan sejak tahun 1951 lagi telah mempromosikan cita-citanya seperti juga DAP yang menguar-uarkan konsep negara 'Malaysian Malaysia' yang memang tidak disenangi oleh orang-orang Melayu.

Ideologi perjuangan parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat hendaklah dihormati oleh semua pihak, tidak perlu dipolimekkan. Sekarang adalah masa, gabungan parti dalam Pakatan Rakyat menunaikan janji-janji yang di buat dalam PRU 12 lalu.

Tumpuan yang harus diberikan oleh pemimpin kedua-dua parti, bagaimana untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat melalui PRU 12 lalu, apabila negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor diterajui oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PAS+PKR+DAP). Adalah malang, bila sudah diberikan mandat oleh rakyat masih ada segelitir pemimpin yang bercakaran satu sama lain. Rakyat yang memberi kuasa kepada mereka, masih terabai dan belum keluar dari belenggu kehidupan yang perit semasa berada di bawah rejim UMNO/BN selama 50 tahun.

DAP harus membuka minda mereka melihat cita-cita PAS untuk menjalankan pentadbiran Islam di negara dari perspektif yang lebih terbuka. Adalah perlu pemimpin politik dari parti seperti DAP dan juga Karpal, mendapat sokongan dari pengundi Islam mencari kaedah terbaik mendapatkan penjelasan secara ilmiah dari PAS berhubung dengan Negara Islam tersebut.

Sesungguhnya, Islam adalah ajaran dan cara hidup untuk seluruh manusia.

Kedegilan, sikap prejudis dan cara berfikiran ortodok yang dianuti oleh Karpal sudah ketinggalan serta mengundang polimek yang akan merugikan semua pihak (Pakatan Rakyat).

Penulis mencadangkan supaya YAB Menteri Besar Kedah menganjurkan satu wacana 'Negara Islam', melibatkan pemimpin politik Pakatan Rakyat dan pemimpin - pemimpin masyarakat dan NGO pada masa akan datang.

Dasar, prinsip dan nilai-nilai dalam sebuah Negara Islam yang masih kabur dapat diperjelaskan, sekaligus menyakin kepada mereka bahawa Islam adalah penyelesaian terbaik untuk mengurus dan mengatur kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

KRONOLOGI PERANG MULUT PEMIMPIN PAS DAN DAP

1 April: Tiga pemimpin utama pembangkang mengumumkan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat. Pengumuman itu disertai penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

2 April: Timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub dilaporkan berkata "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara Islam."


3 April: Kenyataan ini disokong Pemuda PAS Kelantan.


4 April: Merujuk kenyataan Ahmad dan setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir, Kit Siang berkata PAS belum mengambil iktibar krisis dalam Barisan Alternatif sehingga mendorong DAP meninggalkan pakatan tersebut pada 2001.

5 April: Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Abdul Hadi bertanggungjawab atas kenyataan Ahmad.


Karpal dilaporkan berkata: "Bagaimana mungkin PAS menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika kerusi parlimen yang dimenangi mereka adalah yang paling sedikit jumlahnya berbanding DAP dan PKR."

6 April: Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa Karpal memperkecil-kecilkan usaha PAS mempromosikan pentadbiran Islam di negeri itu.

Kenyataan Ahmad, setakat ini, menerima dukungan Pemuda PAS, sekurang-kurangnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

7 April: Karpal menafikan tuduhan Nik Abdul Aziz. Karpal berkata: "Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam.


"Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud."Ahmad - yang dilaporkan memulakan kenyataan kontroversi itu minggu lalu - berkata beliau tidak bermaksud memaksa DAP dan PKR menerima PAS sebagai teras utama Pakatan dan menyalahkan media atas kekeliruan yang berlarutan.

Datuk Husam Musa, naib presiden PAS dan exco Kelantan, memberi jaminan negara Islam hanya menjadi idealisme parti itu dan tidak terdapat dalam agenda Pakatan Rakyat.

8 April: Pemuda PAS Kedah meminta Karpal tidak membesar-besarkan isu tersebut, sementara menteri besarnya Azizan Abdul Razak menggesa pengerusi DAP tidak bercakap sesuatu isu yang tidak difahaminya, termasuk isu hudud.
Akhir, semoga kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS + PKR (Kedah), PKR + DAP (Pulau Pinang) dan PAS + DAP + PKR (Perak dan Selangor) akan dapat menjalankan tugas mereka dengan amanah, adil, sejahtera dan selamat, sekaligus membawa pembaharuan yang lebih bermakna kepada seluruh rakyat yang telah menderita sepanjang tempoh 5o tahun UMNO/BN berkuasa. Kuasa kerajaan Pakatan Rakyat adalah datang dari rakyat, maka utamakan hasrat dan harapan rakyat.

No comments: