Friday, May 2, 2008

Mufti Perlis Cergas, PAS Perlis Pula Monyok

Sejak PRU 12 lalu, Mufti Perlis, Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
telah membuat pelbagai kenyataan yang mengejut pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan UMNO/BN dan individu-individu yang memandang serong terhadapnya.
Sebelum ini, Mufti Perlis tersebut telah meminta pemimpin kerajaan UMNO/BN yang telah memerintah lebih 50 tahun di Negara ini meminta maaf kepada rakyat di atas kesilapan yang mereka telah lakukan, di samping juga bertaubat kepada Allah SWT.
Isu terkini ialah tindakan Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri Perlis yang dikuasi UMNO/BN, supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei di Perlis.
Surat bantahan tersebut, menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut, sekaligus melarang artis Faizal Tahir membuat persembahannya di program Jom Heboh yang akan diadakan tersebut.
Ketika mengulas tentang surat bantahannya, "Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan.
Ia berbeza dengan pendapat Mufti Perak yang suatau ketika pernah mengeluarkan fatwa bahawa adalah haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.
Dr Mohd Asri menjelaskan, " jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya".
Beliau berkata bahawa, "Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita 'banned' semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata.
"Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.
Penulis amat menghargai keberanian dan kejujuran Mufti Perlis menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri Perlis supaya memantau perjalanan Karnival Jom Heboh kerana ia dibimbangi banyak mendatangkan keburukan dan kebaikan.
Waktu sama, penulis juga merasa hairan dengan sikap PAS Perlis, khususnya para pemimpinnya yang mendiamkan diri terhadap isu ini.
Adakah PAS Perlis telah hilang semangat juangnya kerana kalah teruk di dalam PRU 12. Ataupun masih keletihan kerana bertungkus lumus bertarung dengan UMNO/BN semasa PRU 12 lalu.
Apakah betul dengan dakwaan mutakhir ini yang mengatakan kepimpinan PAS Perlis tidak mampu untuk mendepani cabaran semasa samada di sudut politik dan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat. Kemana perginya Ketua dan Dewan Ulamak dan Ketua dan Dewan Pemuda PAS Perlis yang merupakan sayap kanan parti, sepatutnya bingkas bangun mempertahankan maruah dan akidah umat Islam yang sememangnya akan dirosakkan melalui program seperti Karnival Jom Heboh ini.
Jika PAS Perlis dan kepimpinan sudah hilang kepekaan terhadap gejala-gejala yang boleh merosakkan akidah dan maruah muda-mudi serta umat Islam di negeri itu, bagaimana PAS Perlis akan mendapat kepercayaan rakyat sebagai pembela Islam di masa akan datang.
PAS Perlis janganlah menganggap bahawa Karnival Jom Heboh adalah di bawah tanggungjawab kerajaan semata-mata dan semata-mata mengambil isu tanpa bertindak lebih konstruktif supaya kerajaan dan rakyat dapat melihat kesungguhnya untuk memastikan kehidupan manusia menjurus kepada perintah Allah SWT. Adakah iman kepimpinan PAS Perlis hanya tinggal tersemat di dalam hati nurani sahaja, tanpa mampu lagi menzahirkannya melalui tangan dan suara.
Oleh itu, penulis berharap dengan kepekaan Mufti Perlis sejak kebelakangan ini menjadi titik tolak kepada PAS Perlis berganding bahu dengannya membenteras segala aktiviti yang tidak bermoral di Perlis pada masa depan. Walaupun Dr Mohd Asri adalah seorang Dato’ Mufti di bawah pemerintahan kerajaan UMNO/BN, bukan menjadi alasan dan penghalang kepada PAS Perlis untuk duduk berbincang dengannya dalam hal-hal yang berkaitan umat Islam, khususnya.
Penulis optimis, jika PAS Perlis dapat menguasai kerajaan Perlis pada PRU1 2 lalu, Dr Mohd Asri akan dikekalkan sebagai Mufti Perlis juga seperti mana yang berlaku apabila kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak mengekalkan Mufti mereka masing-masing.
PAS Perlis jangan menjadi sebuah jamaah atau parti politik yang berfikiran sempit (jumud) dan tidak mampu melihat realiti semasa.
Selamat berjuang kepada PAS Perlis dan jangan monyok lagi.

No comments: